LAIN macam sentuhan pengurus baharu Chelsea, Antonio Conte musim ini. Walaupun baru separuh musim mengambil alih jawatan berkenaan di Stamford Bridge, pengurus yang berasal dari Itali itu sudah mampu membawa kelainan buat skuad yang terkenal dengan jolokan The Blues tersebut.
Selepas mengharungi 14 perlawanan, Chelsea kini terus membuktikan keunggulan apabila merekodkan 11 kemenangan, satu seri dan tewas dua kali untuk mengumpul 34 mata, sekali gus mendahului carta liga (setakat semalam).
Setakat ini, mereka hanya tewas kepada Liverpool 1-2 dan Arsenal (0-3), manakala pasukan lain termasuk kelab yang dilabel sebagai gergasi, Manchester United dan Manchester City sudah menjadi mangsa kerakusan mereka. Musim lalu, ketika di bawah kendalian Jose Mourinho mereka menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan mengumpul 50 mata.
Bukti kehebatan The Blues musim ini adalah ketika mereka membelasah City 3-1 pada aksi yang berlangsung Etihad, Sabtu lalu dan ia menjadi suatu amaran bahawa gelaran juara bakal berada dalam genggaman mereka.
Walaupun terus gagah membelasah lawan dalam beberapa perlawanan sebelum ini termasuk kemenangan ke atas City, namun Conte tetap mengambil pendekatan merendah diri dengan menyifatkan skuad kendaliannya itu sangat bernasib baik.
“Ia satu kemenangan yang cukup berharga ke atas pasukan yang cukup hebat seperti City. Saya akui City merupakan pasukan yang sempurna kerana dibarisi pemain-pemain yang berkualiti. “Jadi, saya sangat gembira dan berpuas hati dengan keputusan ini. Terima kasih kepada semua pemain kerana mereka menunjukkan karakter yang cukup hebat.
“Bukan mudah untuk menewaskan City di gelanggang keramat mereka itu tetapi kami berjaya menyempurnakan tugas dengan baik,” jelas Conte. Begitupun, beliau tidak mahu meramalkan kedudukan City dalam liga kerana masih banyak perlawanan yang akan mereka harungi selepas ini.
0 comments:
Post a Comment