PEMAIN tengah Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri tersenarai dalam tiga pemain terbaik untuk memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 semalam. Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman web badan induk dunia itu kira-kira pukul 8 malam tadi.
Selain Mohd. Faiz, dua lagi calon ialah Marlone (Cortinthians/Brazil) dan Daniuska Rodriguez (AFF San Diego/Venezuela) turut terpilih untuk merebut anugerah berprestij itu. Pemenang akan diketahui pada malam gala FIFA yang bakal berlangsung di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.

“Pertama, saya memanjat kesyukuran kerana berjaya tersenarai dalam kelompok tiga terbaik untuk anugerah kategori Puskas. Bukan mudah kerana ia bermula dengan 10 pencalonan sebelum disenarai pendek kepada tiga.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan sepasukan dan pihak pengurusan pasukan Pulau Pinang. Menang atau kalah nanti (dalam kategori Puskas), itu bergantung kepada undian, tetapi Faiz akan datang ke Zurich,” kata Faiz ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu tersenarai antara 10 pemain terbaik selepas menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma unik dari jarak kira-kira 32 meter sewaktu beraksi bersama Pulau Pinang ketika menentang Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu.
Pada perlawanan tersebut, Pulau Pinang menang 3-0. Gol hasil sepakan percuma yang melengkung masuk ke dalam gawang gol Pahang pada minit ke-62 itu mendapat sanjungan ramai sehingga menjadi ‘trending’ di laman sosial Twitter dan turut mendapat liputan daripada laman berita dalam talian British Independent.

Pemenang akan menerima trofi khas dengan latar belakang gambar ketika melakukan jaringan tersebut. Ini merupakan kali pertama pemain bola sepak dari Malaysia mendapat pengiktirafan tersenarai untuk memenangi anugerah tersebut.
0 comments:
Post a Comment