Gara-gara didakwa menghina mendiang Datuk Ong Teik Kwang yang mati akibat ditembak pengawal peribadinya, seorang lelaki bertatu cedera parah disebat sekumpulan individu dalam kejadian di Tanah Perkuburan Khoo Kongsi di Lebuh Raya Thean Teik, Air Itam di sini Jumaat lalu.
Kejadian membelasah mangsa yang berusia 47 tahun itu dilakukan di depan keranda Teik Kwang, 32, yang popular dipanggil Datuk M. Mayat mendiang diletakkan di dewan tanah perkuburan tersebut sebelum disemadikan pada pukul 11 pagi hari ini.
Mangsa yang dibelasah bertubi-tubi oleh seorang lelaki dengan dibantu dua lagi individu hanya terlepas daripada seksaan tersebut selepas diselamatkan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, polis yang mendapat maklumat berhubung kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang telah bergegas ke tempat kejadian dan menyelamatkan mangsa.
“Mangsa yang mengalami kecederaan lebam, bengkak dan luka di mata kanan, pipi, hidung, bahagian belakang badan serta kedua-dua belah tangan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan,” kata beliau di sini semalam.
0 comments:
Post a Comment