My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 1 December 2016

    Personaliti Dark Triad Punca Buli



    BEBERAPA hari lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden sepasang suami isteri yang mempersenda dan membuli seorang anggota wanita Majlis Perbandaran Shah Alam, Selangor ketika menjalankan tugas. Insiden yang menjadi viral itu jelas menunjukkan anggota tadi tidak mampu melakukan apa-apa demi menjaga profesionalisme mereka. 

    Kes-kes penjawat awam berdepan kerenah masyarakat yang pelbagai ini sebenarnya sering berlaku. Ada kakitangan yang mungkin terpaksa menghadapi maki hamun pelanggan, ugutan dan tidak kurang yang mungkin pernah melalui pengalaman kekerasan. Ia mungkin jarang didedahkan oleh media atau menjadi viral di internet.

    Sebaliknya, ia bakal menjadi berita besar sekiranya ada segelintir penjawat awam yang mungkin bertindak ‘kurang mesra’ dengan pelanggan. Mereka akan dijadikan sasaran kritikan orang ramai. Hakikat yang perlu diketahui, viral tadi mungkin menunjukkan realiti sebenar ragam pelanggan dengan seribu macam wataknya.

    Agresif

    Ada yang sopan, ada yang tidak. Ada yang boleh ditangani dengan mudah, ada pula yang mungkin bertindak di luar batasan. Dalam psikologi, dikatakan terdapat individu yang memiliki personaliti Dark Triad atau gabungan beberapa tret yang menjadikan mereka agresif dan suka mengawal orang lain.

    Tret ini termasuklah personaliti Machiavelli, Narcissism dan Callous-Unemotional (CU). Pemilik personaliti ini cenderung untuk menjadikan orang lain sebagai mangsa mereka. Umumnya, mereka yang mempunyai personaliti ini cenderung bertindak ganas dalam perlakuan. Gabungan personaliti ini menjadikan seseorang itu adakalanya sangat aneh dalam tindakan mereka.

    Mereka yang tinggi dengan tret Machiavelli misalnya dikatakan cenderung untuk menjadikan orang lain sebagai mangsa manipulasi mereka. Mereka sanggup buat apa sahaja asalkan tujuan mereka tercapai. Narcissism pula ialah keadaan apabila seseorang itu mempunyai ego diri yang tinggi dan merasakan orang lain tidaklah sehebat mereka.

    Dalam kata lain, pemilik watak ini mempunyai ciri kesombongan yang tinggi. CU pula ialah tret personaliti berkaitan dengan individu yang tidak mempunyai empati terhadap orang lain. Biasanya mereka juga tidak menghiraukan perasaan orang lain. Apa yang mereka pentingkan ialah diri sendiri sahaja.

    Banyak kajian mendedahkan, baik dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa pemilik personaliti Dark Triad cenderung untuk bertingkah laku ganas dan membuli orang lain. Gabungan sifat manipulasi, sombong diri dan tiada perasaan terhadap orang lain melengkapkan sisi gelap itu.

    Menyusahkan

    Walaupun orang ramai mungkin berasa tidak puas hati dengan tindakan sesetengah pelanggan yang bersikap tidak sopan dan angkuh dalam tindakan mereka, itulah hakikat watak manusia. Ada yang mungkin mampu mengawal diri mereka dan ada pula yang tidak. Ada yang mampu menyembunyikan keangkuhan mereka, ada pula yang menunjukkannya secara nyata.

    Sebahagian daripada kita juga mungkin memiliki personaliti Dark Triad tetapi ia mungkin berlaku dalam situasi tertentu. Ia boleh berlaku dalam apa juga latar pekerjaan atau hubungan persahabatan. Bagaimanapun, jika seorang pemimpin mempunyai personaliti ini, ia akan menyusahkan pengikut mereka.

    Manusia seumpama ini cenderung untuk mempergunakan orang lain demi mencapai kepentingan mereka. Mereka juga sangat sukar ditegur kerana berasakan diri mereka selalu betul dan tidak mempunyai perasaan bersalah apabila melakukan sesuatu. Bagi penjawat awam atau pekerja yang perlu menghadapi kerenah pelanggan yang beragam, anggaplah ia sebagai satu cabaran.

    Janganlah kecewa jika berdepan dengan situasi seumpamanya. Mereka mungkin tidak menyedari apa yang dilakukan itu salah kerana ia telah menjadi sebahagian daripada personaliti mereka. Sebaliknya, imbas semula pengalaman-pengalaman indah tatkala menghadapi situasi pelanggan yang beragam ini.

    Tentu kita juga pernah mendapat pujian atau penghargaan daripada pelanggan tatkala menjalankan tugas. Jadikan ia sebagai satu ganjaran untuk kita terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab. Anggaplah bahawa manusia ini tidak pernah sempurna. Ia unik dan beragam sifatnya.

    Ada yang merasakan diri mereka sempurna, sedangkan hakikatnya tidak menyedari betapa mereka sedang diuji dengan tret personaliti yang membingungkan. Sekurang-kurangnya kita tidak diuji dengan watak seteruk itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Personaliti Dark Triad Punca Buli Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top