Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT), bekerjasama bagi melaksanakan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan sebagai usaha berterusan menggalakkan penggunaan ringgit dan baht dalam perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.
Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pelaksanaan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan itu juga membolehkan transaksi perdagangan antara dua negara dilakukan pada kos lebih murah dan dilaksanakan dengan lebih cekap.
Katanya, dengan rangka kerja ini, peniaga di Malaysia dan Thailand boleh memperoleh ringgit serta baht dengan lebih efisyen daripada bank tempatan di negara masing-masing untuk menyelesaikan transaksi perdagangan.
“Usaha ini juga bagi memudahkan lagi perdagangan dua hala yang sudah terjalin lama antara Malaysia serta Thailand dan paling penting rangka kerja ini tidak perlu melalui mata wang ketiga khususnya dolar Amerika Syarikat (AS).

Hadir sama, Gabenor BOT, Veerathai Santiprabhob. Enam bank dilantik bagi menyokong pelaksanaan rangka kerja itu iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd dan Bangkok Bank Bhd yang mewakili Malaysia. Sementara itu, Bangkok Bank, CIMB Thai Bank, Kasikornbank PCL mewakili Thailand.
Transaksi perdagangan membabitkan kedua-dua negara ketika ini kebanyakannya menggunakan dolar AS, dengan peniaga dan pengguna terpaksa menanggung caj tukaran semasa menukarkan dolar AS kepada mata wang tempatan.
Zeti berkata, tahun lalu nilai perdagangan antara Malaysia dan Thailand mencecah sehingga RM86 bilion dan pelaburan sebanyak RM1.4 bilion, namun kadar transaksi terus menggunakan ringgit dan baht masih rendah sekitar 10 peratus.
“Jika mengikut nilai perdagangan antara kedua-dua negara, masih terdapat banyak potensi untuk melakukan transaksi secara terus menggunakan ringgit dan baht,” katanya.
Sementara itu, ringgit, dijangka akan terus kekal bertahan dan meneruskan momentum lebih stabil memandangkan negara masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh. Zeti berkata, sebagai negara pengeksport minyak Malaysia tidak boleh lari daripada impak kejatuhan harga komoditi itu terutamanya terhadap ringgit.
“Ramai menjangkakan Malaysia akan menghadapi masalah besar akibat kejatuhan harga minyak, namun mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa kebergantungan kita terhadap minyak telah berkurangan di bawah paras 20 peratus sahaja,” katanya.
0 comments:
Post a Comment