Para pemimpin dunia mengalu-alukan ‘kemajuan sebenar’ di Syria kelmarin tetapi siri serangan udara baharu membuktikan kerapuhan gencatan senjata yang berusia seminggu di negara bergolak itu.
Jet-jet pejuang mengebom kubu utama kumpulan penentang di timur ibu kota Syria, Damsyik buat kali pertama sejak gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat (AS)-Rusia itu dilaksanakan pada Rabu lepas.
“Dua serangan udara mengenai pinggir bandar Douma di Ghouta Timur dengan seorang maut,” kata pengarah Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdul Rahman. Katanya, serangan udara itu sama ada dilakukan oleh Rusia atau tentera Syria.
Ghouta Timur yang kerap dibom tentera Syria menjadi tenang selepas gencatan senjata tersebut sekali gus membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar bantuan ke tiga bandar yang dikuasai kumpulan penentang di kawasan itu.
Terdahulu, Menteri Luar Britain, Perancis, Jerman dan Kesatuan Eropah yang bertemu di Paris bagi membincangkan gencatan senjata Syria berkata, terdapat ‘kemajuan sebenar’.
“Ketiadaan pertempuran susulan gencatan senjata ini bukan sempurna tetapi ia mengurangkan keganasan dan memberi peluang bantuan kemanusiaan dihantar,” kata Setiausaha Luar Britain, Philip Hammond.
Kuartet menteri luar itu mahu semua pihak yang bertelagah di Syria kembali ke meja rundingan tajaan PBB di Switzerland Rabu ini.
“Kami mahu rundingan damai disambung tetapi dua syarat mestilah dipenuhi iaitu akses bantuan kemanusiaan untuk semua rakyat Syria dan menghormati sepenuhnya gencatan senjata,” kata Menteri Luar Perancis, Jean-Marc Ayrault.
0 comments:
Post a Comment