My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 2 March 2016

    Plan Pengstrukturan MAS Di Landasan Tepat


    Malaysia Airlines Berhad yang kini dalam proses penstrukuran semula dijangka kembali mencatatkan keuntungan dalam tempoh dua tahun lagi iaitu menjelang 2018 bersandarkan kepada pelan lima tahun yang turut menyaksikan beberapa langkah dilakukan termasuk penyusunan semula laluan penerbangan sedia ada. 


    Antara usaha awal dilakukan ialah mengadakan perkongsian kod dengan Emirates Airlines (Emirates) di mana ia adalah perjanjian perkongsian kod terbesar Malaysia Airlines, sekali gus membuka laluan baru dan akses ke lebih 30 negara termasuk destinasi Amerika Selatan serta Eropah seperti Rom, Paris, Madrid dan Barcelona.

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines , Christoph Mueller berkata, kerjasama dengan syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu adalah satu keputusan penuh komersial dan Malaysia Airlines berbangga kerana jenama Emirates di peringkat global adalah tinggi iaitu bernilai AS$7.7 bilion.

    “Emirates memberikan kita jaringan laluan yang terbesar untuk mencapai mana-mana destinasi seluruh dunia dan kami gembira kerana dapat menjalinkan perkongsian kod dengan syarikat penerbangan yang amat kukuh serta berprofil tinggi.

    “Perkongsian kod ini adalah selama lima tahun dan berharap ‘perkahwinan’ ini dapat dikekalkan sehingga ke akhir hayat,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di ibu pejabat Malaysia Airlines di Sepang.

    Beliau berkata, selain mendapat manfaat daripada perkongsian kod itu, ramai penumpang Emirates juga boleh dihubungkan terus dengan rangkaian penerbangan Malaysia Airlines lain seperti FireFly dan MAS Wings yang memiliki 90 peratus ketepatan dari segi jadual penerbangan ke destinasi pelancongan lain di seluruh negara.

    Katanya, sejak beroperasi 1 September lalu, Malaysia Airlines kini mencatatkan kemajuan baik dari segi pendapatan setiap tempat duduk bagi setiap kilometer (RPK) mengikut standard industri selepas sekian lama berhadapan masalah kewangan dan diburukkan lagi dengan tragedi berganda membabitkan syarikat itu pada 2014.

    Malah, beliau berkata, syarikat turut mencatatkan kemajuan dalam kos setiap tempat duduk bagi setiap kilometer (ASK) yang mana ia sejajar dengan usaha jitu syarikat untuk mengurangkan kos, memandangkan masalah kos adalah lebih besar berbanding masalah pendapatan.

    Mueller berkata, Malaysia Airlines juga kini dalam proses menjual pesawat Boeing 777-200s dan akan menggantikannya secara berperingkat mulai pertengahan April depan dengan 15 buah pesawat Airbus A350 yang lebih moden, jumlah kabin kelas bisnes lebih banyak, tahap penggunaan minyak rendah dan dianggap sebagai pesawat penumpang untuk masa depan.

    “Terdapat dua perkara penting yang boleh dilakukan Malaysia Airlines bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dalam pelan pemulihannya berjaya dicapai.

    “Yang pertama ialah membeli secara bijak dan kedua adalah membeli pada harga yang rendah. Apa yang membuatkan syarikat penerbangan berada dalam krisis, ia boleh jadi salah strategi atau strategi yang betul, tetapi pelaksanaan yang salah.

    “Saya fikir, Malaysia Airlines berhadapan kedua-duanya. Sebahagian adalah strategi yang salah dan juga pelaksanaan yang sangat lemah. Jadi, saya percaya sebab kenapa penstrukturan semula Malaysia Airlines menjadi lebih sukar serta mengambil masa lama,” katanya.

    Beliau berkata, selain itu, syarikat penerbangan kebangsaan itu akan menggunakan aplikasi mudah alih dengan memperkenalkan sistem perkhidmatan pelanggan (PSS) yang baru bagi membolehkan transaksi atau perhubungan dengan pelanggan dapat dilakukan lebih interaktif sama ada menerusi telefon mudah alih atau dalam talian.

    “Kami kini dalam proses tender pusingan akhir untuk PSS dan dijangka membuat keputusan dalam tempoh empat minggu lagi. Sistem ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir pertengahan 2017. “Pelan perniagaan kami bukannya dibangunkan dengan harapan atau angan-angan, tetapi semuanya berdasarkan fakta,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Plan Pengstrukturan MAS Di Landasan Tepat Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top