Pasukan polis sedang berusaha keras untuk melakukan risikan dan mengambil tindakan bersesuaian bagi memastikan keselamatan negeri ini tidak mudah digugat, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun. Sehubungan itu katanya, polis akan melipatgandakan usaha bagi memastikan Sabah terus selamat.
“Kita tidak boleh terlalu mendedahkan berkaitan isu keselamatan. Tetapi percayalah, kami tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan berusaha keras bagi memastikan Sabah terus selamat.
“Dan yang selebihnya bagi kami siasat dan biar kami bekerja. Kita ada pegawai dan anggota berkaliber yang bersedia memberikan segala perkhidmatan, tenaga dan masa untuk bumi Sabah, walaupun ada antara mereka yang bukan berasal dari negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu ancaman keselamatan merebak ke Pantai Barat Sabah seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, menerusi Lawatan Kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, di sini kelmarin.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden A Sahak Rahmat dan Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah Datin Ainalmarhanim Abd Ghani.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rashid berkata kewujudan pasukan keselamatan itu 209 tahun yang lalu, perlu dirasai oleh masyarakat.
Sehubungan itu, beliau mahu setiap pegawai dan anggota kembali kepada perkara asas yang perlu ada dalam diri seseorang polis seperti berpenampilan kemas, menepati masa, boleh mengendalikan senjata dengan baik selain boleh bekerja bersama di bawah satu ketua.
“Dalam rangka lawatan saya ke ibu pejabat daerah di kawasan ESSZone ini, saya menerapkan keperluan adanya ‘engagement’ di antara saya dengan warga polis. Dalam perjumpaan ini, saya memberikan penerangan secara jelas mengenai hala tuju dan hasrat saya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, di mana saya berpegang kepada ‘go back to basic’.
“Pendapat saya, kalau asas kita dalam penugasan kepolisan adalah kukuh, maka segala-galanya akan mudah untuk digerakkan. Tetapi, kalau asas tidak perhatikan secara jelas, ia akan menyukarkan gerak kerja kita,” jelasnya.
Ke arah itu, beliau memberi saranan kepada Ketua Polis Daerah untuk mengadakan latihan dalam perkhidmatan kepada pegawai dan anggota di kawasan masing-masing, sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.
Katanya, ia bagi memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran pegawai dan anggota sedia ada khususnya melalui perkongsian pengalaman dan ilmu daripada mereka yang telah lama berkhidmat selain veteran polis.
Sementara itu, Superintenden A Sahak dalam ucapannya memberitahu cadangan untuk membina sebuah balai polis di kawasan Paris di Kinabatangan akan dipanjangkan kepada pucuk pimpinan.
“Setakat ini, Balai Polis Tongod telah diwujudkan, manakala Pondok Polis Sukau telah dinaik taraf kepada Balai Polis Sukau,” katanya.
0 comments:
Post a Comment