My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 2 March 2016

    Segmen Filem : Misi Mike Banning Halang Pembunuhan Presiden US





    Pengganas menyerang dan mahu membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS). Kemudian akan muncul seorang anggota tentera atau ejen perkhidmatan rahsia yang melindungi presiden. Selepas bertempur, bergasak dan membunuh anggota kumpulan pengganas, presiden akhirnya berjaya diselamatkan dan kumpulan pengganas terbabit akhirnya tumpas. 

    Mungkin agak klise, tetapi inilah yang selalu ditampilkan dalam filem aksi dari Hollywood. Jalan ceritanya mudah diagak, namun cara pembikinan, babak aksi pergaduhan, aksi tembak-menembak dan barisan pelakon adalah kelebihan setiap filem bercorak sedemikian.

    Inilah antara intipati filem London Has Fallen arahan Babak Najafi yang menampilkan lakonan Gerard Butler, Aaron Eckhart, Morgan Freeman, Angela Bassett dan Alon Moni Aboutboul. Filem ini yang mula ditayangkan esok adalah sekuel kepada Olympus Has Fallen arahan Antoine Fuqua pada 2013 yang turut menampilkan pelakon sama.

    Walaupun dikritik, Olympus Has Fallen mencatat kutipan AS$160 juta berbanding kos produksi, AS$70 juta.

    Jika dalam Olympus Has Fallen, ejen perkhidmatan rahsia AS, Mike Banning (lakonan Gerard Butler) melindungi Presiden AS, Benjamin Asher (Aaron Eckhart) apabila White House diserang pengganas, dalam London Has Fallen, Mike melakukan perkara yang sama terhadap Asher apabila presiden itu mahu dibunuh pengganas ketika menghadiri upacara pengebumian Perdana Menteri Britain di London.

    Eckhart yang kembali berlakon sebagai Presiden AS menyifatkan watak itu cukup menyeronokkan. “Saya boleh memakai pakaian yang mahal dan menaiki helikopter, tetapi selepas itu helikopter berkenaan mungkin meletup. Siapa tahu!” katanya.

    Eckhart mengakui, berlakon dalam filem berkenaan agak memenatkan. “Babak aksi, tembak-menembak dan letupan agak memberi tekanan. Ia juga perlu dilakukan dengan teliti. Bukan saja pembikinan filem ini mendatangkan tekanan, tetapi juga subjek yang diketengahkan.

    “Apa yang berlaku dalam filem itu tidak mustahil akan terjadi dalam realiti walaupun kita setiap hari berdoa supaya ia tidak berlaku. Ini kerana ancaman pengganas memang wujud,” katanya. Eckhart berkata, apa yang disukai penonton dalam Olympus Has Fallen sebelum ini dapat disaksikan semula dalam London Has Fallen.

    “Penonton mengharapkan banyak daripada Butler dan dia betul-betul menjiwai wataknya sebagai Banning. Pemilihan Najafi sebagai pengarah adalah tepat kerana dia mempunyai idea hebat untuk filem ini,” katanya.

    Sementara itu, Penerbit, Les Weldon berkata, kesetiaan antara dua watak utama adalah elemen paling penting dalam filem ini. “Dalam Olympus Has Fallen, penonton dapat merasai keserasian antara Eckhart dan Gerard. Kali ini di London, mereka melalui keadaan yang lebih ekstrem dan kami dapat menyaksikan lebih banyak interaksi antara mereka berdua. Kita dapat melihat bagaimana mereka saling menyokong antara satu sama lain agar dapat terus hidup,” katanya.

    Weldon berkata, dalam menghasilkan sekuel ini, mereka tidak mahu melakukan perkara yang sama. “Dalam filem sebelum ini, ia hanya tertumpu kepada persekitaran dan dalam White House saja, tetapi dalam London Has Fallen, ia lebih luas, sekali gus menonjolkan keserasian dua pelakon utama terbabit,” katanya.

    Bina semula Gereja St Paul, pejabat Oval White House dan Air Force One Filem ini mengisahkan pengganas paling dikehendaki dan peniaga senjata api, Aamir Barkawi (lakonan Alon Moni Aboutboul) yang merancang membunuh Presiden AS, Benjamin Asher selepas anak perempuannya terbunuh dalam serangan tentera AS, dua tahun sebelum itu.

    Kematian mengejut Perdana Menteri Britain di London menuntut Presiden AS dan ketua negara lain hadir ke majlis pengebumiannya di Gereja St Paul, London. Banning yang mengiringi Presiden Asher ke London pula tidak mengetahui ia adalah perangkap Barkawi untuk membunuh Asher dan ketua negara lain di London.

    Sementara itu, bagi mendapatkan gambaran sebenar kota London, sebuah studio iaitu Nu Boyana Studios di Sofia, Bulgaria digunakan. Pihak produksi membina semula Gereja St Paul untuk babak pengebumian Perdana Menteri Britain.

    Di studio itu juga mereka membina semula kawasan eksklusif Mayfair di timur London dan Soho. Di studio yang sama juga mereka mewujudkan replika pesawat Air Force One, ruang dalaman pejabat Oval di White House dan pejabat M16 Safe House.

    Weldon berkata, kru produksi di Bulgaria cukup mahir dalam bidang pembinaan, pertukangan dan seni arca. “Mereka adalah yang terbaik di dunia! Mutu kerja dan ketelitian mereka amat sempurna,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Segmen Filem : Misi Mike Banning Halang Pembunuhan Presiden US Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top