My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 1 September 2016

    Diserang Luar Pub, Isi Perut Nyaris Terburai

    PARAH: Salah seorang mangsa dihantar ke HUS untuk menerima rawatan lanjut.

    Dua lelaki mengalami kecederaan serius di bahagian perut apabila ditikam oleh sekumpulan lelaki di luar sebuah pusat hiburan di Siburan, Jalan Kuching-Serian di sini, awal pagi semalam. Kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 4 pagi ketika mangsa dari kawasan Padawan hendak beredar dari premis tersebut. 

    Menurut salah seorang rakan mereka, mangsa yang berusia 52 tahun pada mulanya menunggu di luar sebelum memutuskan untuk masuk semula ke dalam premis untuk memanggil rakannya. Namun, sekumpulan pelanggan yang mabuk dikatakan menghalang mangsa daripada masuk sebelum menyerang mangsa menggunakan senjata tajam.

    Rakannya, 40, yang menyedari insiden itu bergegas keluar untuk membantu mangsa yang cedera di bahagian perut dan lengan akibat ditikam. Dia bagaimanapun turut diserang oleh kumpulan sama sehingga menyebabkan isi perutnya hampir terburai.

    Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil. Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan Superintenden Choo Yin Kok berkata, siasatan awal menunjukkan serangan itu kemungkinan disebabkan pengaruh alkohol yang tinggi.

    “Polis berjaya mengesan dan menangkap tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam serangan tersebut dan akan memohon reman esok (hari ini),” katanya.

    Dalam kes berasingan, dua lelaki warganegara India ditahan selepas cuba menyerang rakan senegara semasa sesi minum di atas sebuah bot nelayan di Pending di sini, awal pagi semalam. Insiden dikatakan berlaku sekitar jam 3 pagi ketika tiga nelayan itu menikmati minuman alkohol apabila berlaku salah faham antara mereka.

    Suspek-suspek cuba menyerang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai parang namun dia sempat melarikan diri dan meminta bantuan. Polis bergegas ke tempat kejadian susulan menerima panggilan kecemasan dan seterusnya menangkap dua lelaki tersebut.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Diserang Luar Pub, Isi Perut Nyaris Terburai Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top