Teka-teki siapa juara Mentor Milenia terjawab apabila Fareez, protege Hazama menjadi pilihan juri dan penonton pentas final yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin.
Di saat tumpuan peminat terarah kepada Qody dan Wanie yang dijangka mendominasi trofi juara dan naib juara, kemenangan berpihak kepada Fareez, 18, yang juga anak kedua pelakon Fauzi Nawawi. Fareez dan Hazama berkongsi hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala Qody, 21, anak didik Black yang menjadi calon pilihan ramai pula menduduki tempat kedua dan meraih wang tunai RM50,000 beserta trofi.
Wanie, 21, juga anak didik Black yang menjadi calon juara pilihan Datuk Seri Vida selaku penaja utama Pamoga Qu Puteh, sekadar menduduki tempat ketiga dan pulang dengan hadiah wang tunai RM20,000.
Pada acara kemuncak yang dikendalikan Issey Fazlisham dan Marsha Milan, tiga peserta ini perlu melunaskan dua persembahan iaitu secara solo dan bergandingan dengan mentor masing-masing. Fareez menyampaikan lagu medley Apokalips dan Aku Juga Manusia serta berduet dengan Hazama menerusi lagu Drama King dan Hilang Naluri.
Qody memilih lagu Hanya Namamu dan berduet dengan Black menerusi lagu Jerangkung Dalam Almari. Wanie pula menyampaikan lagu medley Malam dan Merisik Khabar serta berduet dengan Black lagu Tanya Sama Hati dan Tiada Kata Secantik Bahasa.
Tidak dinafikan kemenangan Fareez mengejutkan banyak pihak tetapi disambut gembira peminatnya. Kegembiraan itu turut dikongsi Fauzi Nawawi dan isterinya, Lisdawati yang hadir memberikan sokongan buat anak mereka. Pemarkahan pentas akhir ditentukan menerusi 50 peratus juri profesional, 20 peratus juri awam manakala undian peminat menerusi laman sesawang mewakili 30 peratus.
Barisan juri profesional terdiri daripada Azmeer, Amy Search dan Ajai sepakat mengakui Fareez mempunyai keistimewaan tersendiri dan layak dinobatkan sebagai juara. “Kami melihat usaha Hazama adalah yang terbaik kerana tahu memilih lagu sesuai dengan karakter protegenya. Kalau bercakap soal kesilapan, semua peserta ada buat silap tetapi Fareez kurang kesilapan berbanding Qody dan Wanie.
“Black kurang teliti dalam pemilihan lagu. Tak dinafikan suara Qody tinggi tapi potensi agak kabur kerana kita nampak seakan ada seorang lagi Black dalam industri.
“Fareez ada nada suara yang romantik. Suaranya seperti Broery yang tiada dalam industri kita. Fareez ada visual yang baik dalam persembahannya selain tak melakukan banyak kesilapan. Qody pula banyak yang sumbang terutama pada verse di samping notasinya yang tak tepat,” kata Azmeer.
Ajai pula menegaskan tidak semestinya nada tinggi akan membantu kejayaan peserta kerana juri mencari suara yang lunak. “Apabila penyanyi menyanyi dalam nada agak tinggi, kita tak rasa selesa mendengarnya. Kami mencari mereka yang ada suara yang baik dan lunak. Hazama pandai membentuk gaya yang sesuai untuk Fareez,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Hiburan Primeworks Studios merangkap Penerbit Eksekutif Mentor Milenia, Muhamad Sufian Isa berkata, Qody dan Wanie akan diserapkan sebagai artis Monkey Bone dan Talent Unit di bawah Media Prima.
“Kami akan berbincang dengan Hazama bagaimana cara melanjutkan karier Fareez,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Vida mengakui terkejut apabila Fareez diumumkan sebagai juara. “Daripada maklum balas peminat setiap minggu, ramai yang sukakan Wanie. Bagaimanapun selepas penjelasan juri, saya berpuas hati dan boleh terima kemenangan Fareez,” katanya yang berharap semua perserta Mentor Milenia diberi ruang mengembangkan bakat sebagai penyanyi.
Fareez berkata, dia seakan-akan bermimpi apabila namanya diumumkan sebagai juara Mentor Milenia. Apatah lagi kemenangan ini diraih pada hari ulang tahun ke-43 bapanya. “Saya dan Hazama hanya sasarkan tempat ketiga. Tak sangka saya jadi juara. Saya akan terus berguru dengan Hazama.
“Saya mahu cipta nama dalam bidang nyanyian tetapi sekiranya ada tawaran berlakon yang sesuai saya akan terima. “Mengenai wang kemenangan pula, saya berhasrat sambut ulang tahun pada 6 Mei ini dengan mengerjakan umrah di Makkah. Saya akan bawa emak bersama nanti,” katanya.
Sementara itu Hazama berkata, dia mengagumi protege Black dan tidak meletakkan harapan tinggi terhadap Fareez. “Saya dah ada lagu sesuai untuk Fareez dan hanya menunggu masa sesuai untuk masuk studio. Saya tak kisah sekiranya Media Prima berminat ambil Fareez kerana saya tak boleh sekat rezeki dia.
“Kalau ikutkan Fareez seorang yang degil dan inilah yang buat dia kuat. Dia gigih berusaha dan berjiwa pejuang,” katanya.
Bagi Black dan dua protegenya, kemenangan Fareez diterima dengan hati terbuka. Bahkan Black memuji Fareez yang menunjukkan kesungguhan dalam persembahannya. Pun begitu, dia tetap berbangga dengan Qody dan Wanie yang memberikan persembahan terbaik.
0 comments:
Post a Comment