Pelbagai pihak tampil untuk membantu meringankan beban kewangan pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m), Watson Nyambek selepas beliau diisytiharkan bankrap kerana gagal melunaskan pinjaman Bank Islam berjumlah RM100,000 bersama tunggakan faedahnya baru-baru ini.
Bantuan ke atas jaguh bergelar Flying Dayak Club itu mencurah-curah selepas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan akan membantu menyelesaikan masalah bekas jaguh pecut negara itu.
Bercakap kepada pemberita selepas Program Sejiwa Senada di Kapit kelmarin, Adenan berkata, kerajaan negeri sangat menghargai sumbangan Watson, 40, yang pernah mengharumkan nama negara dan Sarawak satu ketika dahulu.
“Saya minta maaf. Saya baru tahu pasal perkara ini. Kerajaan negeri akan membantu beliau bagi menyelesaikan masalah tunggakan pinjaman bank yang menyebabkannya diisytihar bankrap,” katanya.
Terbaharu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pemimpin Dayak dalam kerajaan akan berusaha membantu kesusahan yang dihadapi oleh Watson.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk SDNU akan membantu mengumpul dana untuk Watson.
0 comments:
Post a Comment