Sunway Berhad (Sunway) mengumumkan bahagian hartanahnya akan melancarkan projek bernilai RM1.6 bilion pada tahun ini dengan sasaran jualan berjumlah RM1.4 bilion di rantau ini. Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah Malaysia dan Singapuranya, Sarena Cheah berkata, sasaran jualan itu ditetapkan berdasarkan pencapaian tahun lalu di mana syarikat berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM1.2 bilion.
“Daripada jumlah pelancaran tahun ini, kira-kira 70 peratus akan dilaksanakan di Lembah Klang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion,” katanya pada sidang media bersempena taklimat Tinjauan Hartanah Sunway dan Pelancaran 2016 di sini, baru-baru ini.
Selain pelancaran di Lembah Klang, Sunway dijangka melancarkan hartanah di Johor dengan GDV bernilai RM400 juta dan Ipoh serta Pulau Pinang (RM200 juta). Beliau berkata, pihaknya menikmati purata kadar pembelian 80 peratus untuk empat pelancaran hartanah di Bangi, Cheras, Ipoh dan Johor dalam tempoh empat bulan lalu.
Menurutnya, pihaknya berpuas hati dengan sambutan baik itu meskipun dalam pasaran yang mencabar pada masa ini di mana ia banyak dibantu melalui rekod kukuh sebagai pakar pemaju komuniti, lokasi pembangunan baik serta kesungguhan membina hubungan jangka panjang kepada komuniti di kawasan pembangunan Sunway.
“Sebagai pemaju jangka panjang, kami akan terus mengenal pasti kawasan bank tanah strategi lain dan peluang kerjasama dengan rakan kongsi lain yang memiliki falsafah sama seperti kami dalam membina komuniti mampan dan lebih baik,” katanya.
Sehingga kini, bank tanah Sunway adalah seluas 1,337 hektar dengan GDV RM47.7 bilion dengan pembangunan dalam tempoh 15 tahun akan datang dan memiliki jumlah jualan yang belum dibil bernilai RM2.3 bilion. Ketika mengulas pasaran antarabangsa, Sarena berkata pihaknya tidak merancang sebarang pelancaran hartanah baru dan kini hanya memberi fokus kepada jualan produk hartanah sedia ada di pasaran China dan Singapura.
0 comments:
Post a Comment