Sebelum ini pelakon Mia Ahmad sudah memberi penjelasan isu penarikan diri pada saat akhir bagi membintangi drama terbitan Global Station Sdn Bhd berjudul Akadku Yang Terakhir. Umum mengetahui tempat Mia digantikan dengan pelakon popular, Tiz Zaqyah, 28, bagi menjayakan watak Rania Baheera.
Menurut Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, perkara itu perkara biasa dan bukan satu masalah besar untuknya. “Saya okey dan menganggapnya rezeki. Lagipun, saya sudah lama tidak terbabit dalam penggambaran drama bersiri dan bekerjasama dengan Global Station.

“Paling penting sebagai pelakon saya perlu melaksanakan tanggungjawab diberikan dengan sebaik mungkin,” katanya. Rata-rata menyifatkan pemilihan bintang drama Nur Kasih ini adalah tepat berdasarkan rekod cemerlangnya dalam kebanyakan drama sebelum ini.
“Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai yang terbaik atau bagus bagi melakonkan sesuatu watak.
“Cuma, sudah menjadi disiplin kerja saya untuk menyampaikan watak diberikan mengikut kehendak skrip dan jalan cerita,” katanya.
Sambung Tiz, tawaran berlakon dalam produksi ini hadir ketika dia menjayakan drama Hero hujung tahun lalu. Ketika itu, pemenang kategori Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH 2009 ini turut menerima tawaran daripada produksi lain. “
Saya pun tidak pasti siapa antara kami yang terlebih dahulu mendapat tawaran berlakon dalam drama ini. Saya anggap perkara ini sudah selesai dan sudah menjalani penggambaran,” katanya.
Bayaran setimpal Tatkala industri lakonan dilambak dengan kehadiran ramai pelakon baru, Tiz bersyukur apabila namanya masih menjadi pilihan penerbit dan stesen TV bagi membintangi karya mereka. Justeru, perkara paling ditakuti Tiz dan segelintir pelakon senior adalah soal bayaran yang bakal diterima.

“Kalau nak tahu, perkara ini sering saya bincangkan bersama rakan pelakon lain. Secara peribadi saya berpendapat ia hak pelakon berdasarkan komitmen dan kemampuan diri.
“Tidak wajar menuding jari ke arah artis jika bersikap sedemikian. Pastinya apa yang diminta itu berbaloi dengan apa diberikan,” katanya. Berkongsi lanjut perihal kerjaya seninya, Tiz memberitahu dia akan terus mencanai bakat selagi ada permintaan.
“Memandangkan lakonan adalah minat saya sejak dahulu lagi, saya tidak berhasrat untuk bersara. Saya juga tidak pernah meletakkan sebarang sasaran dan jangka waktu.
“Perkara sebegini tidak boleh dirancang kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang,” katanya yang selesa berlakon daripada mengusahakan perniagaan.
0 comments:
Post a Comment