Usia bukan penghalang bintang tersohor Datuk Rosyam Nor, 49, mengekalkan jenama dirinya malah memastikan penampilan sentiasa terjaga. Baginya, imej menjadi keutamaan jika mahu memastikan diri kekal relevan dalam industri seni tanah air.
“Ramai pelakon lelaki seangkatan saya sudah tidak aktif dengan kerja seni.
“Tidak dinafikan industri ada ramai pelapis baru berbakat besar namun saya tidak gusar kerana yakin jenama Rosyam Nor masih utuh.

“Selain itu, apabila menjaga penampilan pasti orang akan terus menggunakan khidmat saya.
“Dalam soal ini saya tidak boleh lokek berbelanja kerana sedar kerjaya ini menuntut saya menjaga imej,” katanya.
Baginya, usia bukan penghalang untuknya bergaya asalkan kena dengan diri dan tidak keterlaluan. Kata Rosyam lagi, sehingga kini masih ada beberapa stesen TV menawarkan watak utama kepadanya. Dia percaya antara resipi utama dalam mengekalkan momentum itu adalah sentiasa menitiberatkan disiplin ketika bekerja.
Bagaimanapun, dia tidak tamak mengaut semua tawaran sebaliknya akan memastikan watak yang diberikan sesuai dengan usianya. “Alhamdulillah stesen TV masih percayakan saya. Biarpun sudah berusia saya masih diberi peluang melakonkan watak utama.

“Soal watak, usia sebegini saya kenalah realistik. Tak bolehlah pegang watak lelaki yang bercinta seperti anak remaja. “Mungkin watak suami atau lelaki yang sudah punya anak lebih sesuai untuk saya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment