Duta Republik Rakyat China ke Malaysia Huang Hui Kang semalam menafikan dakwaan berhubung kehadiran kapal pengawal pantai China di Gugusan Beting Patinggi Ali dekat Miri. Jelas Huang, sebelum ini kapal pengawal pantai China pernah sekali berada di kawasan itu, tetapi mereka tidak berlabuh.
“Saya mahu anda tahu, sekarang ini tidak ada kapal pengawal pantai China berada dan berlabuh di sana (Gugusan Beting Patinggi Ali).
“Sebelum ini mungkin ada tetapi kehadiran kapal-kapal ini adalah bagi tujuan pemeriksaan dan mereka sebenarnya dalam pelayaran.

“Tetapi sekarang ini kapal-kapal ini tidak lagi berada dalam kawasan itu dan ini adalah maklumat bagi gambaran sebenar yang berlaku di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam. Tambah Huang, isu ini bagaimanapun tidak dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Ketua Menteri semalam.
Menurut beliau, isu ini adalah dibawah bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China. “Secara jujurnya, kami tidak membincangkan perkara ini kerana bagi saya ia lebih sesuai untuk dibincangkan antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan China sendiri.
“Tetapi saya ingin mengambil peluang ini untuk membuat penjelasan kepada anda mengenai apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.

“Semalam saya telah berjumpa dengan persatuan nelayan di Sibu dan mereka turut menyatakan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar,” ujarnya yang yakin isu ini mampu diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.
0 comments:
Post a Comment