Hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Republik Rakyat China akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang. Malah menurut Duta Republik Rakyat China ke Malaysia Huang Hui Kang, beliau telah mengenal pasti lima bidang utama bagi kerjasama dengan Sarawak hasil daripada lawatan singkat kedua ke negeri ini.
“Saya telah mengenal pasti lima bidang utama untuk bekerjasama dengan Sarawak, pertama dalam bidang pertanian, perhutanan dan perikanan kerana Sarawak kaya dengan sumber semula jadi dan tanah yang mencukupi bagi pertanian.
“Syarikat China amat berminat untuk membuat pelaburan besar dalam bidang ini dan telah mempunyai beberapa proposal yang bagus termasuk dalam projek pertanian dan perladangan.
“Kami juga sedang mempertimbangkan untuk membangunkan Taman Herba Cina di Sarawak melihat kepada kesamaan yang banyak antara Sarawak dan wilayah Yunnan di China,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Pejabat Ketua Menteri, Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Bidang lain yang dikenal pasti termasuk infrastruktur, pendidikan, pembangunan keupayaan serta persahabatan dan kerjasama. “Lima bidang utama ini merupakan topik perbincangan antara saya dan Ketua Menteri dan kami komited untuk membawa hubungan yang lebih baik kepada rakyat di Sarawak dan juga Republik Rakyat China.
“Kami juga komited untuk mempromosikan keamanan sejagat dan kemakmuran antara kedua-dua rantau ini,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan itu, Huang berkata meskipun singkat namun beliau telah menerima sambutan yang hangat daripada kerajaan negeri dan masyarakat Cina. “Saya dapat merasakan hubungan persabahatan dan kerjasama antara kedua-dua negara dan rakyat dan saya gembira melihat polisi baharu di negeri ini yang baik untuk negeri dan masyarakat Cina khasnya,” tambahnya.
Turut serta dalam kunjungan itu semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh, Konsul Republik Rakyat China di Kuching Fu Ji Jun serta yang lain.
0 comments:
Post a Comment