Fenomena gerhana matahari separa berjaya menarik ramai peminat astronomi berkumpul bersama di Balai Cerap Al Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, pagi kelmarin bagi menyaksikan fenomena alam itu seawal jam 7 pagi.
Selain Pejabat Mufti sebagai urus setia, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Sabah Stargazer dan Jabatan Penerangan Negeri Sabah turut serta dalam aktiviti pencerapan itu.
Sebelum fasa kemuncak gerhana matahari, kira-kira 300 umat Islam mendirikan solat sunat gerhana di Masjid Al Hilal, Putatan. Solat sunat diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Ustaz Mohd Hisham Yahya dan diikuti khutbah khas gerhana yang telah disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Sabah Sohibul Fadilah Ustaz Hamdani Omar.
Pada khutbah itu, umat Islam telah diajak untuk memahami asbab dan musabab gerhana itu berlaku bagi mengetahui perkara tersurat serta tersirat agar umat Islam menjadi peneraju dunia pada suatu masa nanti.
Sementara itu Pengarah Balai Cerap, Sabah Stargazer, Harris Jeffrey berasa gembira kerana dapat berkongsi ilmu astronomi dengan orang awam pada cerapan gerhana kali ini. “Kami amat beruntung dapat menyebarkan ilmu dan pengalaman kami dalam bidang falak dengan orang awam pada hari ini.
“Memang menjadi visi persatuan kami untuk menyebarkanluaskan ilmu astronomi dan akan merancang pelbagai program terutamanya di sekolah-sekolah seluruh Sabah,” jelasnya.
Kegembiraan itu turut dikongsi oleh Cheong Weng Kit, 46, yang ditemani isteri dan dua orang anaknya menyaksikan fenomena gerhana.
“Saya mula meminati bidang astronomi semasa menuntut di Amerika Syarikat, kini kami sekeluarga berkongsi minat yang sama,” katanya. Bagi seorang penjawat awam, Haslan Sanadi, 33, beliau juga tidak mahu terlepas menyaksikan fenomena gerhana kali ini.
“Saya amat teruja dapat melihat fenomena ini dengan lebih jelas menggunakan kemudahan teleskop dan alat tradisional lain yang telah disediakan oleh pihak penganjur.
“Saya amat kagum dengan kebesaran Allah dan peristiwa ini banyak menginsafkan saya,” katanya.
Cerapan gerhana juga mendapat sambutan daripada golongan pelajar sekolah di sekitar Kota Kinabalu. Seorang pelajar dari SMK Kinarut, Awg Ku Mohd Tajuddin Mohd Tasin, 17, berasa puas apabila dipilih untuk datang menyaksikan fenomena gerhana itu.
“Saya amat seronok dan meminati bidang astronomi sejak kecil lagi.
“Ini adalah pengalaman kedua saya menyaksikan fenomena gerhana dan ia kenangan manis dalam hidup saya,” jelasnya. Fenomena gerhana matahari separa kali terakhir dapat dilihat di Sabah pada tahun 2013 dan dijangka akan berlaku semula pada 26 Disember 2019 manakala gerhana matahari hampir penuh dapat dilihat di Pontianak, Indonesia juga pada tarikh yang sama.





0 comments:
Post a Comment