Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bekerjasama dengan Persatuan Pengedar Petroleum Australia (ACAPMA) untuk mengkaji mekanisme ideal sebagai persediaan kepada industri peruncitan minyak Malaysia berdepan dengan pasaran terbuka apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ini berikutan PDAM melihat harga pasaran bahan api di Malaysia dikawal selia kerajaan sepenuhnya dan tidak bersesuaian dengan situasi pasaran terbuka pada masa depan. Presiden PDAM, Datuk Hashim Othman berkata, antara mekanisme yang dikaji adalah penyusunan semula peraturan pasaran bahan api dan perkara itu masih lagi di peringkat cadangan.

“Oleh itu, perkongsian maklumat dengan pihak Australia yang berpengalaman dalam pasaran terbuka membantu kita untuk berdepan sebarang kemungkinan seperti polisi yang tidak akan menjejaskan pemain industri atau pengguna itu sendiri,” katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PDAM dan ACAPMA di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama mewujudkan Persatuan Industri Tempatan Serantau dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk menyokong aktiviti perniagaan pemain industri hiliran petroleum di Asia Pasifik.

Hashim berkata, harga minyak yang dijual kepada pengguna perlu mempunyai situasi menang-menang memandangkan jika harga minyak dijual pada harga terlalu rendah, ia akan mengakibatkan minyak tempatan diseludup ke negara jiran.
“Kita perlu meletakkan harga sesuai dengan keadaan pasaran semasa yang mana ia tidak membebankan rakyat dan juga tidak mengakibatkan minyak negara diseludup ke negara jiran,” katanya.
0 comments:
Post a Comment