Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui anak syarikatnya, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berhasrat mencapai maksimum 500 pelajar setahun secara berperingkat melalui Akademi Rel iaitu pusat kecemerlangan dalam kepakaran rel negara.
Justeru, Akademi Rel menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan kedua-dua pihak bergabung kepakaran menghasilkan sinergi dalam pembangunan tenaga mahir untuk bidang penyelenggaraan dan pembaikan tren di Malaysia.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu menyokong pertumbuhan pesat pembangunan darat yang digariskan berdasarkan Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan.
“Kerjasama ini selari dengan perkembangan pesat sektor rel Malaysia yang dijangka mencapai pelaburan sehingga RM160 bilion pada masa depan,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian antara Rapid Rail dan UniKL, di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Prasarana iaitu Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Ibrahim Ahmad. Pusat kecemerlangan itu memberi fokus kepada program pendidikan dan latihan profesional dalam bidang keselamatan, penjadualan, pengurusan perkhidmatan pelanggan, operasi penyelenggaraan dan program pengurusan berkaitan teknologi rel.

“Program ini menyaksikan pelajar mengikuti pengajian teori di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selama enam bulan sebelum meneruskan pengajian praktikal di Akademi Rel,” katanya.
Beliau berkata, ia diharap membuka peluang kepada kedua pihak mempelopori aspek Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) membabitkan agensi di bawah institut pengajian Majlis Amanah Rakyat (Mara) seperti UniKL, Giat Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
“Ia platform terbaik kerana Prasarana memiliki beberapa perkhidmatan laluan rel yang memerlukan kepakaran pekerja,” katanya.
0 comments:
Post a Comment