Dunia globalisasi yang penuh cabaran memerlukan generasi muda bangkit menonjolkan kelebihan diri supaya mendapat tempat untuk memenuhi keperluan kerjaya. Golongan muda kini bukan saja tertumpu kepada pembelajaran sepenuhnya, tetapi mereka kini lebih kreatif menyertai aktiviti anjuran kampus atau organisasi luar bagi memantapkan keyakinan selain mengasah kemahiran diri.
Aktiviti yang disertai bukan sekadar memenuhi masa lapang khususnya hujung minggu, tetapi mengurangkan golongan muda daripada terbabit dengan perkara yang tidak bermanfaat. Baru-baru ini, CIMB Group dan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) menganjurkan program CIMB Talent Trail 2016 membabitkan 257 pelajar daripada 22 universiti seluruh negara bertujuan menguji dan meningkatkan kemahiran pelajar membabitkan prospek diperlukan dalam kerjaya.
Pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan kimia dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) Thenappan Palaniappan, 23, berkata penyertaan saat akhir bukan halangan untuk meraih kemenangan walaupun pemilihan ahli kumpulan dilakukan secara rawak.

“Setiap kumpulan perlu menyelesaikan semua cabaran disediakan dalam tempoh masa yang diperuntukkan. Oleh itu, toleransi dan kerjasama sangat penting bagi mengelak percanggahan pendapat yang boleh menyebabkan pembaziran masa,” katanya.
Aktiviti yang disediakan memerlukan peserta bergerak ke suatu lokasi dengan berjalan, menaiki bas, LRT atau monorel saja. Manakala pelbagai cabaran adalah untuk menguji kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, kerja berkumpulan, keyakinan diri, kecergasan mental dan fizikal serta perancangan masa.
Thenappan berkata, menerusi aktiviti luar pelajar turut berpeluang mendekati syarikat penganjur yang menawarkan pelbagai khidmat nasihat mengenai kerjaya mengikut kehendak generasi kini. “Selain itu, persaingan hari ini adalah ke arah memotivasikan diri untuk menjadi seorang yang cemerlang dalam kehidupan.

“Kadang-kadang kita perlu bergerak aktif kerana gaya hidup sihat ini secara tidak langsung membawa kepada peningkatan dalam pelajaran.
“Oleh itu, golongan muda tidak perlu takut untuk kalah atau mencuba sesuatu yang baru kerana ia mampu membawa diri kita kepada tahap yang lebih tinggi. Berkongsi pandangan mengenai aktiviti sama, pelajar jurusan kejuruteraan elektronik biokimia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Alexandra Liew, 23, berkata penyertaan dalam aktiviti lasak membantunya menjaga kesihatan sekali gus meningkatkan prestasi kecemerlangan dalam akademik.
“Pembelajaran dalam bilik kuliah juga penting, namun perkongsian pengalaman antara peserta daripada pelbagai universiti lebih bermakna selain mampu menambah lagi pengetahuan semasa.
“Tanpa disedari ia mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik kerana lebih efektif, seronok serta lebih mudah difahami berbanding bergantung sepenuhnya kepada bacaan teks,” katanya.
Katanya, seperti diketahui kelayakan untuk terpilih bagi menjawat sesuatu pekerjaan memerlukan calon terbabit dalam aktiviti luar sebagai bukti mereka tidak pasif. Sementara itu, Ketua Pegawai Modal Insan CIMB Group, Hamidah Naziadin berkata, CIMB dan TalentCorp bersedia memainkan peranan mendidik golongan muda bagi menepati kredibiliti yang diperlukan majikan berdasarkan pembelajaran melalui pengalaman.
0 comments:
Post a Comment