My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 10 September 2016

    Gabung Keindahan Dan Keselesaan


    Sesiapa pun tidak menolak kenyataan latar landskap hijau dan semula jadi penting untuk kesejahteraan kehidupan. Ia satu keindahan dan dulu-dulunya proses membina landskap dianggap sesuatu yang mahal. 

    Tidak semua mampu memiliki taman indah. Itu sebenarnya senario 30 tahun lalu, bukannya hari ini. Kini terjemahan landskap masih berkisar perihal rekaan, pilihan tanaman dan kesesuaian ruang, namun diperkemaskan lagi dengan kaedah atau cara lebih sempurna terutama kawasan bandar. 

    Menurut Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, fungsi landskap itu sendiri sudah dipelbagaikan tidak hanya menawarkan panorama indah semata-mata. Disesuaikan dengan persekitaran dunia yang tidak menentu dengan perubahan iklim mendadak dan pemanasan global semakin ketara.

    Keadaan itu mendorong arkitek landskap untuk menggabungkan reka bentuk bangunan dan bandar dengan perancangan landskap seimbang untuk kelestarian bandar itu sendiri. “Dalam konteks yang lebih luas, keindahan dan keselesaan digabungkan supaya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

    “Bukan sekadar dibarisi tanaman, malah landskap hari ini turut meliputi komponen tertentu termasuk perabot atau aksesori taman. Perkembangan inilah yang meletakkan betapa pentingnya seorang landskap arkitek yang profesional untuk sama-sama membangunkan landskap unik dengan fungsi tersendiri,” katanya.

    Beliau yang juga Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) berkata perancangan landskap sempurna di kawasan bandar sangat penting untuk mengimbangi pembangunan di sekitarnya. “Ia bagi membolehkan masyarakat menikmati dan mengecapi kualiti kehidupan manusia dengan mengimbangkan pembangunan serta pemeliharaan alam semula jadi yang bermutu tinggi.

    “Di sini fungsi landskap antara lain membantu menyelesaikan masalah haba dan kepanasan. “Pilihan pokok, reka bentuk dan elemen landskap termasuk air, perabot serta aksesori taman menjadi penguatnya.

    “Semuanya digabungkan dan diolah sebaik-baiknya supaya dapat memberikan impak merendahkan suhu kawasan bandar,” katanya. Trend landskap bandar hari ini juga memperlihatkan konsep ‘green wall,’ taman menegak dan ‘roof top garden’ antara yang popular. Dalam kalangan kita lebih cenderung dengan idea taman ringkas, praktikal dan bermanfaat.

    “Peranannya lebih dari satu kerana langkah itu antara usaha menyejukkan bangunan. “Tumbuhan memanjat dan tahan lasak antara yang menjadi pilihan,” katanya. Malah kawasan dalam bangunan juga boleh diwujudkan landskap atau persekitaran hijau.

    Sekurang-kurangnya masa terluang kakitangan bertugas diisi dengan berada di sudut atau ruang taman selain membantu interaksi lebih sempurna. Apatah lagi di bandar hari ini banyak menghubungkan satu kawasan dengan kawasan yang lain. Berbeza dengan pendekatan landskap dulu-dulu yang hanya tertumpu pada kawasan tertentu saja.

    Pada masa sama kecenderungan mencipta taman pada tingkat tertentu bangunan bukan lagi panorama yang pelik. Bayangkan berada di tingkat tinggi, anda masih lagi dapat menghirup udara segar dengan kehijauan di depan mata. “Tidak ketinggalan idea landskap biarpun di bandar perlu dibina atau didatangkan bersama nilai yang memberikan kesan sepanjang zaman.

    “Jika pulang ke kampung tengok saja landskap atau pokok tertentu sudah terimbau nostalgia silam zaman kecil-kecil. “Di situ letaknya warisan yang membuktikan peranan landskap itu sendiri,” katanya. Begitu juga dengan kewujudan landskap di celah-celah atau sudut tertentu bangunan yang seharusnya boleh dimanfaatkan untuk semua.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gabung Keindahan Dan Keselesaan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top