My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 16 September 2016

    Papar Pejuang Pelbagai Etnik



    Kehadiran filem patriotik, The Magnificent Seven sememangnya dinanti ramai. Akar ceritanya adalah mengenai perjuangan tujuh figura yang bersatu menuntut bela untuk penduduk pekan kecil Rose Creek yang ditakluk penjahat. Lebih menarik mereka turut dibantu penduduk pekan itu yang sanggup bergadai nyawa. 

    Filem ini membariskan bintang ternama Hollywood iaitu Denzel Washington, Chris Pratt, Ethan Hawke, Vincent D’Onofrio, Byung-hun Lee, Manuel Garcia-Rulfo dan Martin Sensmeier sebagai teraju utama. The Magnificent Seven dibuat semula daripada filem judul sama arahan John Sturges yang ditayangkan pada 1960.

    Ia diadaptasi daripada filem Jepun berjudul Seven Samurai. Filem arahan Antoine Fuqua ini mengisahkan Sam Chisolm pembunuh upahan yang dilantik kerajaan untuk membunuh penjenayah. Berlatarkan tahun 1870-an selepas Perang Saudara Amerika Syarikat, Chisolm lakonan Denzel bertemu dengan Emma Cullen (Haley Bennett) dan rakannya Teddy Q (Luke Grimes) yang meminta bantuan daripadanya.

    Emma dan Teddy ingin mengupah Chisolm untuk membunuh ahli perniagaan kaya, Bartholomew Bogue (Peter Sarsgaard) yang menjajah pekan mereka dan membunuh ramai penduduk. Pada awalnya, Chisolm menolak kerana melakukan kerja kerana wang semata-mata. Namun, dia bersetuju membantu Emma kerana Bogue adalah penjahat yang membunuh ahli keluarganya.

    Chisolm merekrut sekutunya dan bermulalah pengembaraannya bersama kaki judi yang hebat menggunakan bahan api, Josh Farraday (Chris Pratt); penembak tepat, Goodnight Robicheaux (Ethan Hawke) dan pembantunya, Billy Rocks (Byung-hun Lee); pengesan laluan, Jack Horne (Vincent D’Onofrio); pejuang Mexico, Vasquez (Manuel Garcia-Rulfo) serta pahlawan puak Comanche, Red Harvest (Martin Sensmeier). \

    Mereka turut bergabung tenaga dengan penduduk tempatan yang berjuang mendapat semula tanah dan maruah mereka. Melakonkan watak yang pernah dilakonkan orang lain tentunya cabaran besar buat barisan pelakon filem ini. Namun bagi Denzel, ia tidak menjadi masalah kerana dia ada cara tersendiri bagi memastikan lakonannya punya identiti.

    “Saya tidak menonton filem asal dan versi 1960, jadi saya boleh melakonan watak Chisolm mengikut cara saya. Saya tidak mahu terikat dengan lakonan pelakon terdahulu dan mahu lebih bebas dalam berkarya,” katanya dalam satu temubual.

    Bagi Fuqua pula sebagai pengarah, dia masih mahu mengekalkan DNA asal filem Seven Samurai namun perlu disesuaikan dengan era Barat yang berubah-ubah. “Setiap era ada perbezaannya dan Barat sentiasa berubah-ubah. Kalau saya teruskan dengan benda sama seperti filem Magnificent Seven versi 1960, semuanya akan sama saja, memaparkan pejuang kulit putih seperti John Wayne. 

    “Seiring dengan peredaran masa, saya corakkan perjuangan itu dengan menggabungkan pelbagai etnik sama seperti dunia kita pada hari ini,” katanya.

    Tentunya, Magnificent Seven juga tidak terlepas daripada kritikan, namun rata-rata memberikan pujian dengan mengatakan lakonan semua pelakon sangat berkesan dan meninggalkan impak besar di hati penonton. Di Malaysia, The Magnificent Seven akan mula ditayangkan di pawagam pada 22 September ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Papar Pejuang Pelbagai Etnik Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top