Semalam, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mendengar sebut kes berhubung kes saman beliau keatas NST. Anwar menuntut RM70 juta terhadap New Straits Times (NST) dan tiga lagi individu berhubung artikel yang didakwa menggambarkannya terlibat dalam pengubahan wang haram.
Sebenarnya, bukan kes ini yang mahu dibicarakan. Apa yang ingin dibicarakan adalah, bagaimana sepanjang beberapa tahun Anwar menjalani hukuman penjara, beliau dilihat kerap kali keluar dan masuk mahkamah. Ianya seperti terlalu banyak kes yang melibatkan dirinya dan kadang kala ianya dilihat seperti sengaja diada-adakan bagi membolehkan Anwar keluar masuk penjara semahu hatinya.
Jika dihitung keseluruhan kes yang membabitkan dirinya termasuk untuk mendapatkan rawatan dan urusan keluarga, lebih 70 kali Anwar dilihat keluar dan masuk penjara. Bagi kebanyakan pesalah biasa, apa yang dinikmati Anwar ini sememangnya tidak akan dapat diperolehi mereka.
Bayangkan, ada pesalah yang meringkuk di dalam penjara tetapi pada masa yang sama, ibu atau ayah mereka meninggal dunia. Tidak akan mungkin pesalah berkenaan dapat keluar sebentar untuk melawat jenazah walaupun dirayu. Namun, lain pula halnya dengan Anwar. Beliau dibenarkan keluar dari penjara untuk urusan peribadi walaupun dikawal oleh beberapa orang warden.
Cukup istimewa bukan layanan yang diterima Anwar sepanjang menjalani hukuman penjara 5 tahun ini? Timbul persoalan, jika beliau boleh keluar masuk penjara sesuka hatinya dalam menghadiri kes mahkamah, urusan perubatan dan peribadi termasuk boleh mengadakan sidang akhbar, apa gunanya lagi ANwar di penjarakan?
Penjara diwujudkan untuk menyedarkan pesalah dengan kesalahan yang mereka lakukan. Di dalam penjara, banyak aktiviti yang telah disediakan oleh pihak penjara bagi membetulkan semula kerosakan akhlak yang telah mereka lakukan. Dalam kes Anwar ini, pastinya banyak program pembentukan diri tidak dapat dihadirinya disebabkan terlalu sibuk keluar dan masuk penjara.
Mungkinkah Anwar akan menyedari segala kesalahan yang dilakukan setelah beliau seolah-olah membuat penjara berkenaan seperti hotel peribadi? Sukar untuk memahami, bagaimana istimewanya layanan yang diterima Anwar sepanjang menjalani hukuman penjara. Justeru, jika sudah terlalu kerap sangat keluar dan masuk, kenapa tidak dilepaskan sahaja?
Tidak guna untuk memenjarakan orang yang terlalu bebas keluar masuk dengan pelbagai urusan kes mahkamah, perubatan, peribadi dan sebagainya. Kenapa harus ada double standard dalam layanan terhadap Anwar? Bukankah lebih baik beliau dilayan sama seperti pesalah yang lain?
0 comments:
Post a Comment