EPISOD duka yang dialami Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berakhir semalam. Persatuan tersebut mendapat ‘talian hayat’, sekali gus membolehkan mereka terus kekal bersaing pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Sebelum ini, KAFA berdepan masalah kewangan yang sangat kritikal sehingga membuat keputusan untuk menarik diri selepas gagal mendapat sebarang tajaan untuk menguruskan pasukan mengharungi kempen Liga M musim ini.
Semalam, mereka kembali bernyawa apabila syarikat telekomunikasi, RedONE dan syarikat Al Hamra Group sudi memberi pendahuluan berjumlah RM3 juta kepada KAFA bagi membolehkan mereka bernafas sekali gus kekal bersaing pada Liga M.
Bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi RedONE dan Al Hamra Group, bersetuju membantu KAFA selepas ahli jawatankuasa tertinggi badan induk itu mengadakan pertemuan dengannya malam kelmarin untuk berbincang mengenai keputusan penarikan diri daripada kempen Liga M.
“Kami telah mengadakan perbincangan secara terperinci daripada sudut aliran tunai KAFA, dan dana RM800,000 yang diperoleh sebelum ini telah digunakan untuk membayar gaji para pemain untuk bulan November. Jadi, KAFA hanya ada RM50,000 untuk meneruskan perjuangan pada kempen Liga M musim ini. Jumlah tersebut sudah pastinya tidak mencukupi sehingga memaksa KAFA berhasrat menarik diri.
“Menyedari masalah tersebut, RedONE dan Al Hamra bersetuju memberi pendahuluan berjumlah RM3 juta kepada KAFA secara kecemasan. Dengan pengumuman ini saya harap polemik dan tuduhan kepada saya dan KAFA, kononnya bermain drama dan wayang berakhir,” kata Annuar pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.
Musim lalu, Kelantan yang ditaja syarikat kosmetik Vida Beauty Sdn. Bhd., milik Datuk Seri Hasmiza Othman atau Dr. Vida, menamatkan kempen Liga Super di tempat keempat dengan mengumpul 29 mata manakala pada saingan Piala Malaysia, mereka tersingkir pada peringkat suku akhir.
Musim 2012 merupakan tahun paling cemerlang buat pasukan Kelantan apabila meraih tiga gelaran selepas menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
0 comments:
Post a Comment