• PANAS

    Sunday, 12 February 2017

    70 Menara Kompak, 13 Menara Komunikasi Akan Dibina Di Sarawak



    Sebanyak 70 menara kompak ‘small cell’ dan 13 menara telekomunikasi dengan nilai keseluruhan RM45 juta akan dibina bagi memperkasa akses perkhidmatan telekomunikasi terutama kawasan tiada atau kurang liputan.

    Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata, ‘small cell’ itu bakal diwujud seluruh negeri manakala menara telekomunikasi itu bakal dibina di Daerah Lundu. 

    “Projek tersebut masing-masing menelan kos kira-kira RM35 juta dan RM10 juta dijangka siap menjelang hujung tahun ini. Kita harap pembinaan tersebut, ia dapat memperluas liputan telekomunikasi terutama di Tanjong Datu, selaras salah satu manifesto diumumkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah tapak baharu Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kampung Tanah Hitam selepas melawat tapak ‘small cell’ Kampung Sebat di Sematan, dekat sini, semalam.

    Hadir sama, Pengarah Pejabat Wilayah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak Roslan Mohamad. Jailani berkata, setakat ini, sebanyak 60 ‘small cell’ diwujud seluruh negeri ini sejak awal tahun lepas, sebagai tambahan kepada 352 menara telekomunikasi sedia ada di Sarawak.

    Beliau menjelaskan, ‘small cell’ dianggar bernilai kira-kira RM500,000 setiap satu dapat memberi capaian seluas tiga kilometer manakala menara telekomunikasi setinggi 200 hingga 350 meter pula menyediakan capaian 10 kilometer.

    “Tetapi antara (menara telekomunikasi) ini ada kelopongan jadi ‘small cell’ akan mengisi poket kelopongan ini yang membantu isu talian terputus-putus bila bergerak,” jelasnya.

    Setakat ini, kawasan Lundu memiliki enam menara telekomunikasi dan lima small cell yang terbaharu dibina di Kampung Sebat. Jailani berkata, pihaknya sedia mempertimbang sekiranya wujud keperluan menambah kemudahan telekomunikasi atau menubuh PI1M dalam usaha memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dari segi perkembangan internet.

    Secara keseluruhan, kementerian telah menubuhkan sebanyak 600 unit PI1M di seluruh Malaysia dan angka itu katanya, dijangka akan mencecah 800 unit menjelang 2018. “Kita tidak membezakan mereka di bandar atau luar bandar. Maknanya, kemudahan tersebut kita sediakan kerana kita ingin merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 70 Menara Kompak, 13 Menara Komunikasi Akan Dibina Di Sarawak Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top