My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 10 February 2017

    Selesa Bersama DC



    Sejak ditubuhkan pada 2015, pasukan e-sukan Digital Chaos mempamerkan prestasi memuaskan apabila menduduki tangga teratas dalam kejohanan Dota 2. Kejayaan itu tak mungkin tercapai jika bukan kerana tonggak utama pasukan itu, Roman Fominok, 20, atau lebih dikenali sebagai Resolut1ion yang menunjukkan prestasi luar biasa sebagai pemain posisi kedua. 

    Ketika ditemui baru-baru ini, Roman teruja apabila menjuarai kejohanan ESL Dota 2 pertama di Malaysia iaitu ESL One Genting. Katanya, itu kejohanan pertama dimenangi DC selepas berpuas hati di tempat kedua dalam The International dan tempat keempat di Boston Major. “Harapan kami ialah memenangi The International sebelum ini. Tapi ternyata, nasib tak menyebelahi.

    “Namun, saya bersyukur Digital Chaos akhirnya berjaya mengungguli emas buat pertama kalinya untuk tahun 2017 dan ini adalah satu pencapaian terbaik untuk pasukan,” katanya.

    Ketika ditanya mengenai pilihannya untuk menjadikan Dota 2 sebagai karier, Roman berkata, dia tidak kisah berkorban banyak perkara untuk mengejar cita-cita. “Tipulah kalau tiada rasa rindu pada keluarga. Bagaimanapun, saya terpaksa akur dengan tuntutan kerjaya yang memerlukan saya terbang jauh dari Ukraine.

    “Saya pernah mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat dan gaya hidup di Amerika Syarikat. Ia sangat berbeza. Tapi lama-kelamaan saya sudah biasa. Apa-apa pun saya bersyukur kerana setidak-tidaknya selama ini saya buat pilihan betul. Ibu dan ayah pun menyokong kerana mereka tahu karier ini boleh jamin kewangan saya dan keluarga,” katanya.

    Pada masa sama, Roman tidak melupakan jasa rakan sepasukan dan tenaga pengajar yang tidak henti memberi semangat kepadanya. “Jurulatih, Pajkatt dan Loomdun banyak mengajar saya dari segi komunikasi dan bagaimana ia dapat membantu kami untuk bermain lebih baik.

    “Ini termasuklah dalam permainan apabila kami memerlukan komunikasi berkesan dalam merancang strategi. Mereka berdua banyak membantu dari sudut itu,” katanya. Menurutnya, pasukan itu menjadi lebih konsisten berikutan adanya ketua pasukan iaitu Rasmus Filipsen (Misery) yang tegas dan berdedikasi.

    “Dia (Misery) seorang ketua pasukan yang disegani mengikut pengalamannya memasuki setiap kejohanan tahunan Dota 2 iaitu The International. Disebabkan itu, kami banyak belajar taktik dan strategi baru. Secara tidak langsung, Misery bertindak sebagai ketua pasukan dan penganalisis, itu kelebihan dirinya,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Selesa Bersama DC Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top