Bekas Presiden Iran, Akbar Hashemi Rafsanjani, 82, meninggal dunia awal pagi, hari ini, selepas dimasukkan ke hospital semalam, akibat masalah sakit jantung. Bekas presiden yang berpengaruh itu berada di belakang Presiden Hassan Rouhani dan sebagai penasihat Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei.
Menurut Reuters beliau meninggal dunia akibat serangan jantung ketika sekumpulan doktor di Hospital Shohadaa, utara Teheran, berusaha sedaya mungkin menyelamatkannya. Rafsanjani, 82, yang menjadi presiden pada 1989 hingga 1997, adalah ketua majlis penasihat Ayatollah yang menasihatkan Khamenei serta bertanggungjawab menamakan pengganti Khamenei.
Dilahirkan dalam keluarga berada di sebuah perkampungan di Nough, selatan Iran, pada 25 Ogos 1934, belajar theologi sebelum menyertai politik pada 1963 selepas Shah Iran menahan pengasas Republik Islam, Ayatollah Ruhollah Khomeini.
Beliau yang membantu menubuhkan Parti Republikan Islam dan menggulingkan kerajaan Shah Iran pada 1979, menjadi Speaker Parlimen selama dua penggal sehingga kematian Khomeini pada 1989. Tempoh Rafsanjani sebagai presiden, selepas perang Iran-Iraq (1980-1988) dianggap era pembangunan Iran dengan pembaharuan serta memperbaiki hubungan dengan negara Arab.
0 comments:
Post a Comment