“Saya bersama orang ramai sudah sediakan tilam dan tali agar mangsa dapat turun dengan selamat namun seorang mangsa terlalu panik sebelum nekad terjun ke simen,” kata Jery John, 28, saksi utama kebakaran sebuah bangunan kedai di Taman Jade Manis, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.20 malam, mangsa, Huong Siew Fong, 21, disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Miri kerana kecederaan di kepala.
Kakak mangsa, Huong Siew Ching, 26, dan abangnya, Huong How Chuang, 24, bersama dua penyewa lain, Elizabath Liza, 20, dan Hennry Andul, 27, yang turut terperangkap di dalam bilik sewa mereka di tingkat tiga bangunan itu diselamatkan.
Menceritakan semula kejadian, Jery berkata, ketika itu dia berada berhampiran bangunan itu sebelum terdengar bunyi jeritan mangsa yang meminta pertolongan. Dia bersama orang lain bergegas naik ke tingkat tiga bangunan itu untuk menyelamatkan mangsa bagaimanapun pintu masuk ke tingkat itu berkunci.
“Kami bergegas mengambil tilam di tingkat satu bangunan itu dan diletakkan bawah lokasi mangsa terperangkap. “Kami kemudian mengambil tali dan diikat di siling tingkat tiga agar mangsa dapat turun menggunakan tali namun seorang mangsa terlalu panik dan terus terjun ke atas simen yang tidak diletakkan tilam.
“Berderau darah saya lihat kepala mangsa berlumuran darah kerana kejadian berlaku di depan mata,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
0 comments:
Post a Comment