Salah satu perkara yang cukup membingungkan pihak berkuasa terutamanya SPAD adalah kegiatan ulat teksi di pintu masuk utama negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. Ianya seperti tiada jalan penyelesaian apabila aktiviti tersebut terus berleluasa tanpa rasa takut kepada pihak berkuasa.
Sepanjang tahun lalu sahaja, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berjaya menahan 58 ulat teksi yang mengambil penumpang secara haram di dua pintu masuk negara itu sekali gus menunjukkan kegiatan itu sentiasa wujud.
Mengulas tentang perkara ini, Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Husni Che Ahmad berkata, 58 tangkapan itu melibatkan 18 ulat teksi di KLIA dan 40 lagi di KLIA2, kesemua individu terbabit telah di dakwa di mahkamah dan dikenakan denda keseluruhan sebanyak RM229,400.
Katanya lagi, seramai 58 individu terbabit merupakan warga tempatan dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, pada tahun lalu juga sebanyak 58 kenderaan telah disita akibat kesalahan mengambil penumpang secara haram di KLIA dan KLIA2.
Menurut Che Hasni, dalam operasi terbaharu baru-baru ini, pihaknya berjaya menahan tiga ulat teksi di KLIA serta KLIA2 dan mereka kini sedang direman dan akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk sebutan kes.
Selain itu katanya, perbuatan ulat teksi yang beroperasi di KLIA dan KLIA2 bukan sahaja memburukkan imej pemandu teksi malah turut mencemarkan nama Malaysia di mata dunia kerana mereka mengenakan caj yang begitu tinggi kepada penumpang terutama pelancong asing. Mereka ini katanya akan mendesak penumpang menggunakan perkhidmatan mereka.
Ujarnya, kegiatan ulat teksi ini boleh didakwa di bawah Seksyen 05 APAD 2010 dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pengusaha kereta sapu pula, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 16 APAD 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali manakala kenderaan yang digunakan sebagai kereta sapu boleh dilucut hak milik.
Dalam pada itu katanya, kegiatan ulat teksi sukar dibanteras kerana mereka yang terlibat tidak serik dan sanggup berdepan dengan pihak berkuasa demi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda dengan menawarkan perkhidmatan di KLIA dan KLIA2.
0 comments:
Post a Comment