Pujian yang mengatakan kita nampak awet muda boleh membuatkan kita tersenyum dan berasa ceria. Dalam era sekarang, bukan wanita saja yang mahu kelihatan lebih muda daripada usia sebenar, ramai lelaki secara diam-diam berlumba menjaga penampilan agar sentiasa dipandang menarik.
Lambakan produk penjagaan diri dan kepelbagaian rawatan kecantikan memudahkan usaha untuk tampak muda walaupun hakikatnya proses penuaan itu sentiasa berlaku tidak kira apa pun yang kita lakukan. Semua orang tahu bahawa proses penuaan berlaku sebaik kita dilahirkan dan ia tidak dapat dielakkan.
Penuaan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu penuaan secara kronologi dan biologi. Penuaan kronologi berkait dengan masa dan peningkatan umur iaitu satu perkara yang tidak boleh diubah dengan apa cara pun. Penuaan biologi pula ditakrifkan sebagai kadar kemerosotan badan yang tidak semestinya selari dengan peningkatan umur.
Penuaan biologi boleh berlaku dengan pantas atau perlahan bergantung kepada bagaimana badan bertindak balas terhadap persekitaran. Menurut Ketua Pegawai Saintifik dan Timbalan Presiden Eksekutif Pembangunan Produk Nu Skin Enterprise, Dr Joseph Chang, sejak dilahirkan kita terdedah kepada pelbagai agen penuaan dalaman dan luaran yang boleh mempercepatkan penuaan dengan merosakkan sel serta tisu dalam badan.
Keupayaan kita memperlahankan penuaan biologi bergantung kepada cara badan termasuk kulit mengekalkan dan mengoptimumkan mekanisme pertahanan penuaan (ADM). Fungsi dan prestasi ADM ini boleh merosot mengikut masa menjadikan kita lebih terdedah kepada agen penuaan.
Antara sebab utama kemerosotan mekanisme ini adalah perubahan dalam pernyataan gen yang berkait rapat dengan usia. Perkara inilah yang menjadi kajian banyak pengusaha kosmetik dan suplemen kesihatan untuk menyokong serta menggalakkan prestasi ADM supaya proses penuaan biologi dapat diperlahankan.
KEKAL SEGAR
Adakah benar keletihan dan kurang tenaga itu antara tanda penuaan? Ya, kata Dr Chang. Rasa letih pada waktu pagi disebabkan kehilangan tenaga fizikal adalah tanda penuaan yang biasa. Apabila usia kita meningkat, keupayaan badan untuk menghasilkan dan menggunakan tenaga secara berkesan akan berkurangan.
Kehilangan tenaga berkait rapat dengan kadar pengeluaran tenaga pada peringkat selular akibat perubahan pada pernyataan gen yang dipengaruhi faktor usia. Apabila usia meningkat, badan tidak lagi berupaya menyembuhkan diri dengan berkesan. Pada ketika ini kerosakan sel, sisa selular dan bahan buangan toksik akan bertambah.
Keadaan ini secara tidak langsung akan menjejaskan penghasilan tenaga selular yang akhirnya mengurangkan tenaga keremajaan kita. Mereka yang memerlukan tenaga segera biasanya akan mengambil makanan atau minuman seperti gula-gula, kopi atau minuman tenaga.
Walaupun gula dan kafein dapat memberikan tenaga segera namun ia tidak bertahan lama. Badan kita memerlukan penyelesaian yang berkekalan untuk mengelakkan keletihan. “Antara cara yang boleh dilakukan ialah mengambil suplemen sebagai pelengkap diet yang sihat dan seimbang selain mengamalkan gaya hidup aktif bagi mendapat kesihatan menyeluruh,” katanya.
Beliau menyarankan empat perkara untuk dilakukan setiap hari iaitu:
1. Minum air secukupnya:
Dehidrasi boleh menyebabkan seseorang itu berasa letih dan tidak bermaya. Minum satu hingga dua gelas air apabila bangun daripada tidur untuk memastikan badan kekal terhidrat.
2. Makan sarapan:
Mereka yang mengambil sarapan kurang mengadu akibat letih dan tertekan berbanding kumpulan yang tidak mengambil sarapan. Mengambil makanan serat tinggi pada waktu pagi adalah lebih baik kerana ia membuatkan kita berasa kenyang dan mengekalkan tahap gula dalam darah bagi jangka masa yang panjang.
3. Makan kekacang: Segenggam badam atau kacang tinggi magnesium dan folat (asid folik). Zat ini penting untuk penghasilan tenaga dan sel.
4. Bersenam: Senaman adalah penambah tenaga semula jadi. Kita akan berasa lebih bertenaga apabila darah yang kaya oksigen dihantar ke seluruh badan. Walaupun dengan hanya melakukan aktiviti regangan selama 10 minit pada waktu pagi, ia berupaya mengekalkan paras tenaga pada tahap puncak.
LANGKAH MELENGAHKAN PROSES PENUAAN
Menurut Dr Chang, tabiat pemakanan yang buruk dan gaya hidup tidak sihat boleh mempercepatkan proses penuaan. Jadi gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang sangat penting. Antara contoh makanan dan minuman yang boleh mempercepatkan proses penuaan adalah:
1. Makanan atau minuman mengandungi gula atau karbohidrat yang diproses
Molekul gula yang berlebihan akan bergabung dengan protein, menghasilkan AGE (Advanced Glycation End product) yang boleh merosakkan kolagen pada kulit.
2. Makanan yang diproses
Makanan diproses seperti sosej, daging burger dan nuget mengandungi sulfit dan banyak bahan pengawet lain yang boleh menyebabkan keradangan pada badan termasuk kulit dan mempercepatkan kita kelihatan tua. Tambahan pula, daging yang diproses biasanya mempunyai kandungan lemak dan garam yang tinggi. Ia boleh mengakibatkan pengekalan air dan meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.
3. Makanan yang tinggi kandungan lemak tepu
Lemak tepu bukan sahaja boleh meningkatkan risiko penyakit jantung malah turut menyebabkan penuaan kulit.
Kajian juga menunjukkan lemak tepu boleh meningkatkan kedutan pada wajah. Selain itu, gaya hidup seharian juga boleh menyumbang kepada penuaan awal. Antara tabiat buruk yang perlu diubah ialah:
1. Kurang tidur:
Tidak cukup tidur atau tidur yang tidak berkualiti boleh memberi pelbagai kesan kepada kesihatan seperti peningkatan berat badan, menjejaskan sistem imun dan daya ingatan, mengurangkan tumpuan dan kulit menjadi pucat.
2. Tekanan:
Tekanan berlebihan boleh mempercepatkan penuaan otak, meningkatkan tekanan darah dan mengganggu tabiat tidur yang akhirnya merangsang proses penuaan badan secara keseluruhan.
3. Merokok:
Merokok dan menghidu asap rokok boleh menghasilkan banyak radikal bebas yang mempercepatkan penuaan kulit. Merokok juga meningkatkan risiko penyakit jantung, kemandulan, tekanan darah tinggi dan pelbagai jenis kanser khususnya kanser paru-paru.
4. Berat badan berlebihan:
Kebanyakan masalah kesihatan seperti penyakit jantung, diabetes, kanser dan arthritis berkait rapat dengan berat badan berlebihan. Ia mungkin disebabkan sel lemak yang menggalakkan proses penuaan.
BUAT PILIHAN BIJAK
Timbul pula persoalan, bolehkah lelaki menggunakan produk wanita? Dr Chang berkata, secara amnya produk yang dihasilkan bagi menangani isu pemakanan, antioksidan dan antipenuaan secara dalaman sesuai digunakan oleh semua individu sihat tanpa mengira jantina. Bagaimanapun, ada beberapa produk tertentu yang dikhususkan untuk wanita dan sebaliknya.
Sebaiknya dapatkan pandangan pakar sebelum menggunakan atau mengambil satu-satu produk kerana kini semakin banyak produk dihasilkan khusus buat lelaki. Contohnya Nu Skin AgelLOC R2 dengan Sistem Galvanic Spa direka untuk lelaki dan menggalakkan pernyataan gen bagi pemulihan selular.
Ia membantu meningkat dan mengekalkan tahap tenaga asas, menyokong badan untuk meneutralkan dan menyingkirkan sisa selular serta hasil sampingan toksik. Hasilnya pengguna akan berasa lebih segar, bertenaga dan ceria. Lambakan produk kecantikan dan penjagaan kesihatan memberi kita lebih pilihan.
Namun yang paling penting, buat pilihan bijak dengan membeli produk yang ada sijil sah dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Antara cara membuat pilihan bijak adalah:
- Pastikan produk dihasilkan mengikut standard pengilangan yang betul dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.
- Bagi memastikan ketulenan, beli dari kedai yang mendapat kebenaran dan ada reputasi yang baik. Elakkan membeli produk di tempat yang tidak sepatutnya seperti jualan bonet kereta, gerai atau laman web yang tidak dikenali.
- Waspada terhadap produk yang dijual dengan potongan harga melampau.
- Perhatikan tatabahasa dan ejaan pada produk. Kesalahan tatabahasa, ejaan dan keterangan yang tidak sesuai mengenai produk adalah tanda produk itu tidak bermutu. Sentiasa waspada terhadap sebarang perubahan pada ejaan produk jenama terkenal.
- Periksa maklumat syarikat. Syarikat yang mempunyai reputasi sentiasa menyediakan alamat penuh, nombor telefon dan alamat e-mel.
- Polisi pemulangan. Syarikat yang sah biasanya menawarkan polisi pemulangan produk.
- Kandungan produk. Jadilah pengguna yang bermaklumat dan luangkan masa untuk memahami kandungan satu-satu produk. Jangan beli produk yang tidak mempunyai label senarai kandungan pada bungkusannya.
0 comments:
Post a Comment