Penahanan dua beradik oleh polis kelmarin menyelesaikan tiga kes curi wang tabung masjid dan surau di sekitar Bukit Siput di sini. Remaja lelaki 13 tahun dan adik perempuannya berusia 12 tahun itu ditahan polis di sekitar bandar Segamat jam 11.30 malam selepas siasatan yang dijalankan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah masjid.
Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Yusuf Unis berkata, siasatan mendapati dua beradik terbabit tidak bersekolah. Beliau berkata, polis mengesan mereka melalui rakaman CCTV satu daripada masjid yang melaporkan sering menjadi sasaran pencuri sejak sebulan lalu apabila mendapati tabung masjid sering dipecahkan.
“Dalam rakaman CCTV itu, suspek lelaki dilihat mengambil telekung di ruang solat wanita dan memakainya ketika mengambil wang dari tabung di ruang solat bagi mengelak wajahnya dirakam kamera.
“Manakala adik perempuannya yang berambut pendek didapati menggunakan batang lidi yang dilekatkan gula-gula getah di hujungnya untuk menarik wang dari tabung berkenaan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Katanya, siasatan turut mendapati suspek gemar melakukan perbuatan itu antara jam 11 pagi dan 5 petang ketika surau atau masjid sunyi daripada jemaah bersolat. “Kedua-dua suspek menunggang basikal ke masjid atau surau yang menjadi sasaran mereka dan kami percaya penangkapan mereka membantu menyelesaikan tiga kes curi wang tabung masjid sekitar Bukit Siput.
“Mereka direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.
Sementara itu, bilal Masjid Al-Muhajirin, Bukit Siput, Rauf Jaafar, 52, berkata, sejak tiga bulan lalu jawatankuasa masjid membuat tiga laporan polis berhubung kecurian wang tabung sumbangan. Katanya, wang sumbangan jemaah itu digunakan membayar bil utiliti masjid, diagihkan kepada tahfiz dan anak yatim serta keluarga yang kurang kemampuan di sekitar Bukit Siput.
“Pengurusan masjid memasang CCTV ternyata berbaloi kerana ia membantu polis mengesan dan menangkap individu yang melakukan kecurian ke atas wang sumbangan orang ramai itu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment