My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 12 January 2017

    Pesona Hidupan Marin Komodo


    Hening laut membiru perlahan-lahan berganti gugusan pulau yang indah ketika berada di langit Labuan Bajo di Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur, Indonesia. Pemandangan itu dinikmati selepas hampir satu jam terbang dari Bandar Udara Internasional Ngurah Rai, Bali. 

    Rasanya, pintu masuk Taman Nasional Komodo itu kian dekat. Ada banyak alasan mengapa kami, rombongan 12 penyelam dari Kak Limah Diving Team (KLDT) diketuai jurulatih selam skuba berpengalaman, Ismadi Ismail berkunjung ke gugusan pulau Taman Nasional Komodo, baru-baru ini.
    Secara geografinya, Taman Nasional Komodo merangkumi Pulau Komodo, Pulau Padar dan Pulau Rinca yang dipisahkan dengan kepulauan Sumbawa ke bahagian barat oleh Selat Sape. Selain deretan pergunungan eksotik ‘kecoklatan’ yang mempesonakan di gugusan kepulauan itu, keindahan dasar lautnya pula laksana ‘magnet’ kepada penyelam skuba.

    Di perut bumi Taman Nasional Komodo ini kelihatan satu sisi unik dasar laut, serba-serbinya mengasyikkan dan memberi cabaran berbeza. Oleh itu, tidak hairan jugalah kepulauan ini diwartakan sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban alam semula jadi di dunia.

    Pertembungan arus Laut Flores dengan Lautan Pasifik menghasilkan khazanah laut berbeza di dasar perairan ini, merangkumi kepelbagaian spesies marin besar (pelagics) dan halus (makro), selain dipenuhi terumbu karang yang berwarna-warni. Ikuti log selaman selama enam hari sepanjang kami berada di kepulauan yang turut digelar Kepulauan Naga Komodo ini:

    Dari Labuan Bajo ke Pulau Padar

    Kapal penginapan kami merentasi Pulau Rinca. Selepas melakukan selaman permulaan (check dive) di tapak selaman Wingkol sehari sebelumnya, kami memulakan selaman di tapak selaman Waenilu dan seterusnya di Three Rock.

    Selaman di Waenilu bagaikan tidak menjanjikan apa-apa, ada banyak runtuhan terumbu karang yang mati, landskap sekadar pasir dan jarak penglihatan yang rendah, tetapi tapak selaman ini kaya dengan hidupan marin makro, terutama lintah laut (nudibranch), ikan paip hantu (ghost pipefish), frogfish (ikan katak) dan udang mantis.

    Bagi jurugambar dasar laut yang menggemari fotografi marin makro, inilah syurganya. Apa yang perlu hanyalah kesabaran untuk mencari hidupan makro ini di celah batu karang kerana ada antaranya berukuran kurang setengah sentimeter saja. Jika Waenilu kaya dengan hidupan marin makro, Three Rocks pula dipenuhi spesies marin besar.

    Tapak selaman ini terletak di lingkaran Selat Linta dan arusnya cukup kuat, ada masa tertentu sukar untuk menyelam di sini. Selaman kami di sini ditemani kumpulan ikan Napoleon, kerapu, selar gergasi dan yu sirip hitam. Sebelah malam, kami meneruskan selaman di tapak selaman Padar Kecil. 

    Memburu Yu Paus di Utara Pulau Komodo

    Sebelum meninggalkan Pulau Padar, kami melakukan selaman seawal pagi di tapak selaman Three Sister. Nama tapak selaman ini merujuk kepada tiga gugusan batu besar dengan kedalaman maksimum melebihi 30 meter. Deretan tiga batu hanya dipisahkan pada jarak kira-kira 10 meter setiap batu dan ia dihiasi terumbu karang yang dipenuhi ikan kecil.

    Kami menyelam mengelilingi batu ini dan mengakhiri selaman di salah satu puncak batu pada kedalaman lima hingga lapan meter. Selesai menyelam di situ, kapal kami belayar ke utara Pulau Komodo. Tujuan utama kami ke sini adalah untuk memburu pari paus di tapak selaman Karang Makassar.

    Tapak selaman ini hanyalah hamparan dasar laut yang dipenuhi karang mati dan landak laut hitam, ia seakan-akan memperlihatkan hamparan jalan berbatu yang tidak berturap. Selaman di sini juga agak ekstrem dan kami terpaksa menyelam mengikut arus yang deras dengan kelajuan sehingga dua knot. 

    Lazimnya, kaki selam yang berkunjung ke Taman Nasional Komodo dengan mudah bertemu pari paus di sini, tetapi tidak untuk kami. Selaman kami di sini cukup menghampakan, pari paus yang dicari-cari tidak ditemui. Hanya sekumpulan tiga rakan yang menemui tiga pari paus, itu pun selepas 40 minit kami melakukan selaman.

    Memandangkan ramai rakan lain tidak dapat melihat kehadiran pari paus di situ, kami melakukan selaman ketiga hari itu juga di Karang Makkasar. Bagaimanapun, lain yang kami cari, lain pula yang ditemui. Ketika dalam perjalanan kembali ke situ dari kapal penginapan, kami dikejutkan dengan kehadiran yu paus berdekatan tapak selaman Couldron Passage.

    Ia pengalaman yang sukar dilupakan buat kami, bayangkan ada antara kami yang sudah bergelar penyelam skuba sejak lebih 10 tahun baru dapat bertemu dengan yu paus. Bagi penyelam, saat menemui yu paus yang liar di lautan ini bagai mimpi menjadi kenyataan. Di Pulau Komodo, bukan semua penyelam bertuah menemui yu paus ini, kami memang bernasib baik.

    Di taman laut ini, gugusan pulaunya secara relatifnya cetek, ia menjadikan arus laut begitu deras ketika pasang surut, terutama ketika air pasang dari Lautan Pasifik bertembung dengan Lautan India di selatan kepulauan ini. Pertembungan inilah menjadikan lingkaran kepulauan ini kaya dengan nutrien dan plankton yang menjadi makanan yu paus, begitu juga pari paus.

    Malangnya, selaman terakhir kami di Karang Makassar tidak begitu bernasib baik, kami gagal menemui pari paus hari itu.

    Mengintai pari paus di Karang Makassar

    Mustahil untuk kami menghabiskan hari-hari terakhir di Taman Nasional Komodo tanpa menemui pari paus di tapak selaman Karang Makassar. Lazimnya, penyelam boleh menemui kumpulan enam hingga lapan pari paus di tapak selaman ini dengan mudah, tapi kami melakukan tiga selaman tetapi masih gagal menemuinya.

    Selepas melengkapkan selaman di tapak selaman Castle Rock, Cristal Rock dan Golden Passage, kami menyelam terlebih dahulu di Batu Bolong sebelum kembali ke Karang Makkasar. Menyelam di Batu Bolong ini juga satu kewajipan jika berkunjung ke gugusan pulau ini kerana ia dianggap sebagai akuarium kepulauan Komodo.

    Batu Bolong ini membentuk seperti gunung di dasar laut, hanya sedikit puncaknya kelihatan di permukaan air. Dasar laut tapak selaman ini memang indah, benarlah seperti dikata ia bagaikan sebuah akuarium. Di sini, selaman agak berbahaya kerana arus yang kuat dan boleh menarik penyelam ke dasar laut.

    Kami diarah menyelam sambil mengelak kawasan yang mempunyai arus berbahaya ini. Ketika menyelam di sini, selaman kami ditemani pelbagai jenis ikan besar, antara ikan yu sirip hitam, penyu dan selar gergasi.

    Kadang-kadang, kalau bertuah boleh juga berjumpa ikan tuna di sini. Selaman terakhir kami di kepulauan Komodo dengan misi memburu kembali pari paus di tapak selaman Karang Makassar. Cubaan kali ini tidak sia-sia.

    Sebaik turun dari permukaan air, kami disambut dua pari paus. Di sekeliling kami, paus menari-nari. Tidak kurang lapan pari paus kami temui di situ. Hampir 50 minit kami menghabiskan masa menyelam di situ sambil bermain-main dengan pari paus. Ia melengkapkan kenangan indah kami di Taman Nasional Komodo.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pesona Hidupan Marin Komodo Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top