Kumpulan Estranged hampir membatalkan konsert yang akan berlangsung di Kilang Bateri, Johor Bahru pada 3 Februari nanti berikutan kes penipuan membabitkan tawaran konsert Rockfest anjuran Apple Music di London, baru-baru ini.
Anggota Estranged yang terdiri daripada Solihuddin Hormat, 32, Richard Lawrence Gimbang, 34 dan Nor Hanafi Noor Hadi, 34, juga mahu berehat selama enam hingga lapan bulan kerana hilang semangat berikutan kes memalukan itu.
Solihuddin atau Din berkata, kes berkenaan benar-benar mencalar maruah mereka hingga mahu bertindak membatalkan konsert itu. “Tipulah jika kami tidak terkesan dengan kes itu. Semangat kami hilang dan tidak tahu bagaimana untuk meneruskan aktiviti seni termasuklah menjayakan konsert itu.
“Nasib baiklah ia sudah dirancang sebelum kes itu. Jadi, kami kena kuatkan semangat untuk meneruskannya,” katanya.
Din berkata, kos untuk penganjuran konsert di Johor Bahru itu tidak terganggu walaupun mereka mengalami kerugian yang banyak akibat penipuan itu. “Tak mengapalah. Barangan cendera hati yang kami sudah keluarkan boleh dijual balik di konsert itu nanti,” katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan kes berkenaan, Din berkata, mereka sudah menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom untuk mengesan wanita dikenali sebagai Eziana Abdul Aziz yang didakwa sebagai dalang itu penipuan itu.
“Kami tetap akan berusaha menjejakinya dan kami lega kerana sudah mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa di sana. Kami berharap dia akan diberkas tidak lama lagi dan membayar ganti rugi kepada kami,” katanya.
0 comments:
Post a Comment