Seramai 75 penghuni daripada 16 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila enam rumah kayu musnah dalam kebakaran besar di Kampung Masjid, Jalan Abang Galau di sini pagi semalam. Dalam kejadian jam 10.03 pagi itu, semua mangsa termasuk kanak-kanak hilang tempat berteduh.
Laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 75 mangsa terdiri daripada dewasa dan kanak-kanak daripada 16 keluarga mendiami rumah-rumah itu terjejas akibat musibah tersebut.
Pegawai Operasi Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Bintulu, Mohd Ishak berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 12.05 tengah hari.
Sebuah jentera FRT Scania bersama lima anggota untuk keluaran pertama diketuai Pegawai Bomba (PB) Azman Julaihi, sebuah jentera ‘water tanker’ bersama lima anggota keluaran kedua, sebuah jentera EMRS dengan seorang anggota dan kenderaan utiliti Kembara bersama dua anggota diketuai PB Azman Johari dikerah ke tempat kejadian.
Komander Operasi Kanan merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu Timbalan Penguasa Bomba (TPg), Di-Hata Gobel turut bergegas ke tempat kejadian. Jentera bertolak pada jam 10.09 pagi dan tiba di tempat kejadian jaraknya empat kilometer dari BBP Bintulu pada jam 10.13 pagi dan pasukan bomba dapat mengawal kebakaran sekitar jam 10.50 pagi.
PPgB Mohd Ishak berkata, semasa pasukan bomba tiba di tempat kejadian ada dua rumah terbakar 80 peratus dan setelah kebakaran dipadam sepenuh didapati rumah terbakar sebanyak enam buah. Katanya, pasukan bomba turut berjaya menyelamat enam buah rumah berdekatan di tempat kejadian.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran dalam operasi memadam kebakaran terbabit disebab faktor angin berubah-ubah, rumah struktur kayu dan jarak antara rumah terlalu dekat menyebabkan api merebak dengan pantas. Laluan jalan menuju ke kampung terbabit juga sempit sehingga jentera bomba sukar untuk menghampiri kampung berkenaan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment