Penyanyi popular Aiman Tino sebak apabila dimaklumkan mengenai impian seorang kanak-kanak perempuan penghidap leukemia yang mahu bertemu dengannya.
Ainul Mardhiah Mohd Zulkarnain, 3, yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, dikatakan peminat setia penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu dan setiap kali menangis ketika dirawat, dia menyebut nama Aiman. Aiman ketika dihubungi berkata, dia sudah berbincang dengan pihak pengurusannya dan dia dijangka bertemu dengan kanak-kanak itu di PPUM, Jumaat ini.
"Saya berasa sebak dan tersentuh apabila mendapat tahu penderitaan Ainul yang masih kecil itu. Justeru, saya tidak berfikir panjang menunaikan impian Ainul untuk bertemu dengan saya walaupun agenda seni agak padat ketika ini," katanya.
Aiman berkata, dia juga merancang kejutan istimewa untuk Ainul apabila mereka bertemu nanti. “Insya Allah saya akan ceriakan Ainul nanti,” katanya.
Terdahulu, bapa Ainul, Mohd Zulkarnain Abu Hassan, 42, menyatakan hasrat ingin menemukan anaknya dengan Aiman. Menurut Mohd Zulkarnain, Ainul disahkan menghidap leukemia sejak setahun lalu dan setakat ini sudah lima kali air tulang sumsumnya diambil.
Isterinya, Khairani Fawzi, 35, juga terpaksa berhenti kerja sejak setahun lalu bagi memberi perhatian kepada anak bongsunya itu. Sepanjang tempoh itu, Ainul turut menjalani rawatan kemoterapi dan dia juga menangis sambil menyebut nama Aiman ketika dalam kesakitan. Selain itu, Ainul juga selalu menyanyikan lagu Aiman dan dari situlah ibu dan bapanya tahu dia sangat meminati penyanyi itu.
0 comments:
Post a Comment