Seorang lelaki berusia 93 tahun yang meninggal dunia Sabtu lalu, meninggalkan 86 isteri dan lebih 200 anak. Mohammed Bello Abubakar yang meninggal dunia di negeri Niger, dikebumikan Ahad lalu, Mohammed Bello pernah menjadi tajuk berita seluruh dunia kerana jumlah isterinya yang ramai.
Pada 2008, dia dikecam ulama negara itu yang menuntutnya menceraikan 82 daripada isterinya dalam masa 48 jam namun dia tidak berbuat demikian.
Menurut The Sun, dalam temuramah dengan BBC pada tahun itu, Mohammed Bello yang beragama Islam berkata, dia berkahwin 130 kali dengan 10 daripadanya berakhir dengan perceraian. Menurutnya, kemampuannya beristeri ramai itu adalah ‘tugas suci’ daripada Tuhan yang memberinya keupayaan mengawal dan menguasai ramai isteri.
“Seorang lelaki yang mempunyai 10 isteri akan mati namun Tuhan berikan saya kekuatan. Kerana itu saya boleh mempunyai 86 isteri.”
Dia bagaimanapun menasihati orang lain supaya jangan mengikut jejak langkahnya kerana kemampuannya memiliki hampir 100 isteri adalah kerana tugas suci yang diberi kepadanya.
Ramai daripadanya isterinya itu dikahwininya selepas mereka datang mendapatkan rawatan daripadanya dan sembuh. Seorang isterinya memberitahu BBC, dia tidak dapat menolak lamaran Mohammed Bello kerana arahan itu datang daripada Tuhan.
0 comments:
Post a Comment