My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 3 March 2017

    Enjin Cukup Senyap


    Persepsi pertama sebaik menjengah masuk ke dalam ruang pemandu model terbaru BMW 330e ialah bunyi enjin kereta ini cukup senyap, malah penulis menyangka enjinnya belum dihidupkan. Namun apabila diberitahu Reena (Penolong Komunikasi Korporat BMW) bahawa bunyi enjin kereta ini memang begitu barulah penulis sedar kuasa enjin kereta itu digerakkan oleh bateri. 

    Bagaimanapun, untuk mengetahui sama ada enjin kereta ini sudah dihidupkan ialah dengan menggerakkan tombol gear ataupun menekan suis pendingin hawa.

    Satu lagi sifat kereta ini ialah setiap kali pemandu membuka pintu dalam keadaan berhenti, enjin kenderaan ini secara automatik akan dimatikan dan jika tidak mahu penumpang kepanasan, terpaksalah anda meminta rakan duduk di tempat pemandu untuk seketika.

    Model BMW 330e iPerformance Sport plug-in hybrid baru ini pertama kali diperkenalkan pada ‘BMW Innovation Days Malaysia 2016’ adalah kenderaan hibrid dengan Teknologi eDrive kedua yang dipasang di negara ini.

    Kesempatan penulis memandu model berwarna biru Mediterranean ini memilih Melaka sebagai destinasi pandu uji. Model ini dilengkapi enjin 2.0 liter empat-silinder teknologi BMW TwinPower Turbo, motor elektrik dan kotak gear Steptronic lapan-kelajuan yang sama pada model BMW X5 xDrive40e dan 740e.

    Menerusi pelbagai corak pemanduan sama ada di lebuh raya, bandar dan laluan kampung mendapati enjinnya mampu bertindak balas dengan pantas tidak mengira apa jua keadaan cuaca. Meskipun perjalanan penulis terpaksa menempuh hujan lebat dan kadangkala renyai, sistem pemanduannya cukup responsif.

    Enjinnya mampu menghamburkan kuasa 252 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 420Nm, dan digandingkan bersama motor elektrik berkuasa 87hp dan tork 250Nm.

    Hasil gabungan penjana kuasa dan sistem yang dipertaruhkan ini, 330e mampu mencapai bacaan 0-100km/j dalam masa 6.1 saat dan kelajuan maksimum 252km/j manakala dari sudut penggunaan minyak pula, 330e mampu mencapai 2.1 liter per 100km dan boleh dipacu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak 37km, pada kelajuan sehingga 120km/j.

    Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi butang eDrive yang menawarkan tiga mod pemanduan iaitu AUTO eDRIVE, MAX eDRIVE dan SAVE BATTERY.

    Dalam talaan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik berfungsi secara selari dengan sangat efisien. Motor elektrik digunakan untuk keperluan kuasa yang normal. Kuasa enjin kemudian digunakan apabila kenderaan mencecah kelajuan sekitar 80km/j atau ketika pemandu ingin mula memecut. 

    Bertukar kepada mod MAX eDRIVE akan menggerakkan sistem pacuan elektrik pada output penuh tanpa sebarang emisi. Dikuasakan sepenuhnya oleh motor elektrik, BMW 330e mencapai kelajuan maksimum sehingga 120km/j.

    Jika lebih banyak kuasa diperlukan daripada sistem pacuan elektrik, enjin pembakaran dalaman akan diaktifkan secara serta-merta dan memastikan gangguan yang minimum terhadap pemanduan.

    Selain daripada butang eDrive, BMW 330e hadir bersama butang Driving Experience Control yang membolehkan pemandu untuk melakukan konfigurasi terhadap stereng, fungsi chasis dan karakter penukaran kedudukan gear.

    Jenis pemanduan boleh dikawal menggunakan suis Driving Experience Control pada konsol tengah, mod yang ditawarkan adalah COMFORT, SPORT, SPORT+ dan ECO PRO. Mengekalkan reka bentuk luaran BMW 3 Series, BMW 330e baru menyerlahkan sifat hibridnya dengan paparan lencana eDrive jelas kelihatan pada sisi kiri dan kanan belakang kereta berkenaan.

    Bagi kemudahan untuk mengecas kereta ini, anda hanya perlu menyambungkan plug tiga pin kepada suis di rumah menggunakan sebuah soket khas yang diposisikan di bahagian kiri hadapan kereta ini. Lampu berwarna biru akan menyala sebaik proses mengecas bermula bagi menunjukkan aliran tenaga elektrik.

    Tahap cas elektrik dapat dilihat jelas pada paparan panel meter pemandu yang turut memaparkan jangka masa penuh. Bagaimanapun, tidak semua suis plug mampu mengecas kereta ini kerana jika rumah anda dilengkapi dengan kotak meter biasa mungkin menimbulkan sedikit masalah dan lampu merah akan menyala untuk memberitahu status mengecas anda.

    Selain memiliki karakter dinamik sebuah sedan yang sporty, BMW 330e turut diserlahkan dengan rim aloi ringan jejari-V bersaiz 18 inci dan dilengkapi head-up display, bantuan parkir, kamera undur dan bumbung kaca elektrik sebagai ciri standard.

    Ciri head-up display cukup membantu pemandu fokus khususnya memaparkan arah tuju lokasi apabila sistem pemanduan GPS diaktifkan tanpa perlu melihat kepada skrin paparan di tengah-tengah konsul. Jentera buatan Jerman ini juga dilengkapi ciri inovatif BMW ConnectedDrive termasuk pelbagai sistem bantuan pemanduan yang baru.

    Ia merangkumi Navigation System Professional generasi terkini seperti iDrive Touch Controller dan juga Parking Assist dengan stereng automatik ketika hendak memarkir di ruang selari dan menegak. Bateri bervoltan tinggi pada BMW 330e baharu menawarkan kapasiti tenaga kasar mencecah 7.6kWh dan boleh ditambah melalui mana-mana soket kuasa domestik.

    Caj penuh menggunakan soket kuasa domestik konvensional akan mengambil masa selama lima jam. Manakala BMW Wallbox Pro menawarkan tempoh pengecasan lebih pantas iaitu 3.5 jam. Sebagai sebahagian daripada BMW 360 ELECTRIC, pelanggan ditawarkan perkhidmatan ChargeNow.

    Ia terdiri daripada sekeping kad ChargeNow yang menawarkan akses terus ke stesen pengecasan seperti ChargEV, hasil kerjasama di antara BMW Malaysia dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia).

    Stesen ChargEV kini beroperasi di 19 lokasi strategik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor. BMW 330e didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey), biru (Mediterranean Blue) dan putih (Alpine White) bersama upholsteri kulit hitam (Dakota Black).

    Harga runcit sebelum insentif hibrid kerajaan ialah RM368,800 tetapi selepas ditolak sebanyak RM120,000, model itu ditawarkan pada harga atas jalan RM248,800 tanpa insurans. Pembelian 330e turut didatangkan dengan jaminan selama lima tahun bersama servis berjadual.

    INFO BMW 330e

    • Enjin: 1,998cc,
    • BMW TwinPower Turbo, empat silinder
    • Transmisi: Steptronic lapan kelajuan
    • Kuasa maksimum: 184hp @ 5,000-6,500rpm
    • Tork maksimum: 290Nm @ 1,350-4,250rpm
    • Ciri keselamatan: Beg udara, ABS, ASC, Dynamic Stability Control (DSC)
    • Harga: RM248,800
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Enjin Cukup Senyap Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top