My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 2 March 2017

    'Kami Enggan Berpisah'




    “Saya tetap mahu tinggal bersama adik-beradik yang lain dan kami tidak mahu berpisah,” kata Lasfardy Majinon, 20, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Muhibbah, di sini, semalam. Lasfardy adalah anak kedua pasangan Majinon Matunjung, 78, dan Norlela Roslan, 42, yang maut dalam kejadian van dirempuh kereta api di Kampung Memanjang, dekat sini, kelmarin. 

    Turut maut dalam insiden itu, adiknya, Lestery, 17. Mangsa yang cedera, adiknya Missah, 15, dan Lamisah, 13, kakak iparnya, Sufiena Razali, 24, dan anak wanita itu, Siti Nurfarhana Fredy yang baru berusia 20 bulan.

    Menurutnya, dia tetap mahu menjalankan tanggungjawab sebagai abang kepada Missah dan Lamisah. Katanya, dia kini menjalani latihan praktikal di sebuah bengkel kereta dan mahu adik-adiknya menetap bersamanya selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan itu.

    “Kali terakhir saya berjumpa mereka pada malam Isnin lalu sebelum esoknya saya ke tempat praktikal tanpa bertemu mereka. Namun, tiada sebarang petanda yang mereka ingin meninggalkan kami.

    “Kehilangan ibu bapa dan adik dalam satu masa sukar untuk diterima tetapi apabila difikirkan balik, hidup mesti diteruskan dan tanggungjawab menjaga dua lagi adik perempuan saya yang masih bersekolah membuatkan saya menjadi kuat.

    “Saya tetap mahu menjaga dua adik dan akan bekerja selepas tamat pengajian nanti,” katanya yang kini menyambung pengajian di Kolej Vokasional Beaufort dalam bidang automotif.

    Sementara itu, kedua-dua adiknya yang turut hadir dalam majlis pengebumian itu masih dilihat dalam keadaan trauma kerana kecederaan yang mereka alami dan gagal ditemu bual wartawan Harian Metro. Kedua-duanya hanya mampu mengangguk ketika ahli keluarga bertanya keadaan dan bagaimana kejadian itu berlaku.

    Terdahulu, jenazah tiga beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad Di Tanah Perkuburan Muhibbah, di sini, jam 2 petang semalam. Ketiga-tiga jenazah itu dibawa dari Hospital Beaufort ke Masjid Pekan Beaufort sebelum dikebumikan di tanah perkuburan itu. Kira-kira 100 ahli keluarga serta rakan hadir dalam majlis pengebumian itu.

    Dalam kejadian jam 2.40 petang kelmarin, van dinaiki tujuh sekeluarga dirempuh kereta api yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Beaufort di Kampung Memanjang, di sini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 'Kami Enggan Berpisah' Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top