My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 7 March 2017

    Korea Utara Teruskan Provokasi




    Negara kuasa nuklear, Korea Utara melancarkan empat lagi peluru berpandu balistik semalam dalam satu lagi cabaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan tiga daripadanya mendarat berdekatan perairan sekutu rapat AS, Jepun. 

    Seoul menyatakan, empat peluru berpandu itu dilancarkan dari wilayah Pyongan Utara dan jatuh ke Laut Jepun. “Peluru-peluru berpandu ini terbang sejauh sekitar 1,000 kilometer (km) dan mencecah ketinggian 260km,” kata seorang jurucakap Ketua Staf Bersama Korea Selatan sambil menambah, senjata itu dipercayai bukan peluru berpandu balistik antara benua.

    Di Jepun, Perdana Menteri, Shinzo Abe berkata, tiga peluru berpandu Pyongyang jatuh dalam Zon Ekonomi Eksklusif Tokyo iaitu perairan sekitar 370km dari pantainya. “Pelancaran ini jelas menunjukkan bahawa Korea Utara memasuki fasa baharu dalam ancamannya,” kata Abe kepada Parlimen Jepun.

    Di Washington, Jabatan Negara AS mengutuk keras pelancaran itu dan menyatakan, AS bersedia ‘menggunakan seluruh keupayaan yang ada bagi menangani ancaman yang kian meruncing ini’. 

    “Kami kekal siap siaga dan akan terus mengambil langkah untuk meningkatkan persediaan mempertahankan diri kami dan sekutu-sekutu kami daripada serangan,” kata pemangku jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner dalam satu kenyataan.

    Dalam perkembangan sama, pemangku Presiden Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn menyifatkan provokasi nuklear dan peluru berpandu Korea Utara sebagai ‘ancaman dekat dan sebenar’ terhadap negaranya.

    “Dengan mengambil kira kekejaman kepimpinan dan sikap melulu Korea Utara yang ditunjukkan melalui pembunuhan Kim Jong-nam, pemilikan senjata nuklear oleh Pyongyang me­rupakan kengerian yang tidak dapat dibayangkan,” katanya.

    Seoul menyalahkan Pyongyang berhubung pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un oleh dua wanita menggunakan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada bulan lalu.

    Korea Utara dilarang menggunakan sebarang bentuk teknologi peluru berpandu balistik di bawah resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi enam siri sekatan PBB sejak Pyongyang melakukan ujian nuklear pertamanya pada 2006 gagal mengekang program nuklear negara komunis itu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Korea Utara Teruskan Provokasi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top