My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 7 March 2017

    Kerajaan Larang Harimau Malaysia Beraksi Di Pyongyang



    DEMI keselamatan skuad Harimau Malaysia, kerajaan melarang pasukan negara berlepas ke Pyongyang, Korea Utara bagi menghadapi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara pada 28 Mac ini. 

    Larangan tersebut disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam selepas menerima arahan terbaharu daripada kerajaan Malaysia agar skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu tidak mengambil bahagian pada perlawanan di Pyongyang atas faktor keselamatan.

    Setia­usaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung ke­tegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara ketika ini.

    “Hari ini (semalam) kami telah menerima arahan terbaharu bahawa kerajaan tidak membenarkan skuad bola sepak negara beraksi di Pyongyang. Arahan berkenaan telah dimaklumkan sendiri oleh (YB) Khairy Jamaluddin yang menghubungi saya pagi tadi (semalam) disusuli surat daripada Kementerian Belia dan Sukan yang ditandatangani Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali. 

    “Surat tersebut menyatakan bahawa kerajaan Malaysia telah bersetuju supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian pada perlawanan di Stadium Kim II-sung, Pyongyang itu atas faktor keselamatan pemain.

    “Keputusan kerajaan Malaysia itu dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini,” kata Hamidin semalam. Ekoran arahan tersebut, Hamidin telah menyerahkan surat permohonan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya venue perlawanan antara Harimau Malaysia bertemu Korea Utara di Pyongyang ditukar ke tempat lain. 

    “Saya juga telah menghubungi Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John yang kini berada di Kemboja, bagi memaklumkan permohonan FAM supaya venue perlawanan tersebut ditukar dari Pyongyang ke tempat lain iaitu gelanggang berkecuali.

    “Saya harap AFC dapat membuat keputusan segera mengenai venue baharu perlawanan tersebut bagi memudahkan persiapan perjalanan skuad Harimau Malaysia yang akan memulakan latihan pusat pada 13 Mac ini.

    Pada 3 Mac lalu, Hamidin turut memberitahu bahawa jadual perlawanan di Pyongyang berjalan seperti dijadualkan selepas Wisma Putra mengesahkan status pasukan kebangsaan untuk beraksi di Pyongyang adalah selamat.

    Media sebelum ini melaporkan, ke­tegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara bermula ekoran kes pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

    Kelmarin Malaysia mengambil tindakan tegas mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara, Kang Chol sebagai persona non grata dan mengarahkan diplomat itu meninggalkan negara ini. Pada aksi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Hong Kong dan Lebanon.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kerajaan Larang Harimau Malaysia Beraksi Di Pyongyang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top