MALAM kemuncak Anugerah Kaseh Tribute P. Ramlee 2016 yang berlangsung pada Sabtu lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur menjadi milik pelakon dan pengarah, Dira Abu Zahar.
Dira memenangi kategori Pengarah Terbaik dan Telefilem Terbaik menerusi karya Redhaku Untukmu, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000. Lebih menarik, telefilem yang sama turut membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi Sharifah Sakinah dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik oleh Iedil Putra.
Dira, 33, yang ditemui usai majlis anugerah tersebut masih tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejutnya. Masakan tidak, ini merupakan kali pertama Dira diberi kepercayaan untuk mengarah sebuah telefilem berdasarkan pengolahan daripada senikata dan tajuk lagu seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Senjakala.
Bagi anugerah tersebut, Dira bersaing dengan 15 buah telefilem lain termasuk nama-nama besar seperti Datuk Paduka Shuhaimi Baba, Melissa Saila dan Rashid Sibir.
“Memang saya sangat terkejut dan tidak sangka boleh menang. Berbanding pengarah lain, saya paling muda dan tidak mempunyai banyak pengalaman. Tambahan, ini kali pertama saya diberi kepercayaan untuk terlibat dalam projek ini dan terus menang,” kata Dira.
Dira turut menegaskan, kemenangannya telah menyuntik keyakinan dan umpama petanda dia harus memberi fokus kepada kerjaya pengarahan berbanding kerja seni yang lain termasuk lakonan.
“Sebelum ini saya pernah kata ingin bersara daripada dunia lakonan. Nampaknya haluan yang dipilih adalah tepat kerana fokus saya sekarang ini hanya kepada pengarahan. Bukan menolak rezeki tetapi seiring dengan peningkatan usia, rasanya lakonan sudah tidak sesuai dengan jiwa saya.
“Saya memohon maaf kepada rakan-rakan pengarah yang tidak henti-henti memberi tawaran lakonan. Jadual yang padat membuat saya tidak menang tangan untuk membuat semua kerja serentak. Oleh itu, lebih baik saya memberi fokus kepada perkara yang diminati iaitu pengarahan serta penulisan skrip,” luah Dira.
Rezeki Che Kem, kejutan Aida
Sementara itu, kategori Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi oleh Che Kem atau nama sebenarnya, Mohd. Kamarulzaman Taib, 46, menerusi telefilem berjudul Sri Bulan. Terdahulu, aktor berkenaan pernah meraih anugerah Pelakon Harapan Lelaki dalam Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem 1957: Hati Malaya.
“Alhamdulillah rezeki ini milik saya. Apa yang mengharukan, saya bersaing dengan nama-nama hebat seperti Khir Rahman, Namron dan Zaidi Omar. Walaupun saya pelakon separuh masa, namun komitmen yang diberikan ketika berlakon telefilem Sri Bulan berbaloi dengan kemenangan ini,” ujarnya yang bekerja secara tetap sebagai Ketua Program Pusat Seni Pentas Tradisional di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Pelakon senior, Aida Khalida juga membawa pulang anugerah apabila memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi telefilem Sri Bulan yang diarahkan oleh Datuk Paduka Shuhaimi Baba dan Ibrahim Alias.
Telefilem berkenaan turut mengungguli kategori Skrip Terbaik. Terkejut dengan kemenangan tersebut, Aida meluahkan rasa syukur kerana bakat seninya dihargai. Kali terakhir Aida menerima anugerah adalah pada tahun 1996 dalam Anugerah Bintang Popular menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular.
“Sudah terlalu lama saya tidak naik pentas menerima anugerah. Sebab itu apabila nama disebut sebagai pemenang, saya rasa seakan tidak percaya. Namun, rezeki ini saya terima dengan lapang hati. Ini bermakna dengan imej berhijab, ia tidak menghalang bakat saya dihargai,” tutur Aida.
Selain itu, telefilem Saling memenangi kategori Sinematografi Terbaik dan telefilem Kembara Nak Dara terpilih menerima Anugerah Khas Juri. Anugerah Kaseh Tribute P. Ramlee dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Suhan Movies and Trading Sdn. Bhd. diadakan buat kali ketiga.
Sebanyak 15 buah telefilem dan 11 orang penulis skrip bersaing menghasilkan karya terbaik yang disiarkan dalam slot Tribute P. Ramlee di saluran TV1 bermula 15 Oktober tahun lalu.
Antara telefilem yang bertanding adalah Saling, Tanya Sama Pokok, Segalanya Dia, Biar Biola Berbicara, Sri Bulan, Hey Missy!, Kalau Jodoh Tak Ke Mana, Redhaku Untukmu, Putih Kemboja, Apek Dan Siti, Peluang Kedua, Malam Ku Bermimpi, Kembara Nak Dara, Aku Dan Dia, dan Sabotaj.
Majlis anugerah yang dikendalikan oleh pasangan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya itu dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad. Bukan itu sahaja, ia juga dimeriahkan oleh persembahan Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Azharina Azhar, Zarul Umbrella, Ernie Zakri dan Syamel.
0 comments:
Post a Comment