• PANAS

    Tuesday, 7 March 2017

    Suntik RM100 Juta



    Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) menerima peruntukan Dana Pembangunan Teknologi Halal (Dana Halal) sebanyak RM100 juta daripada kerajaan bagi membangunkan syarikat berteknologi berasaskan produk atau perkhidmatan halal. 

    Dana berkenaan direka khusus bagi memupuk dan membiayai perniagaan kecil dan sederhana untuk pertumbuhan jangka panjang berorientasikan eksport menerusi aktiviti halal dan patuh syariah.

    Ahli Lembaga Pengarah MTDC, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, MTDC menyasarkan kelulusan Dana Halal kepada 30 syarikat berteknologi yang membangunkan produk halal untuk pasaran tempatan dan eksport sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

    Beliau berkata, dana berkenaan ditumpukan kepada syarikat yang terbabit dalam kluster makanan dan minuman, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal dan nutraseutikal, ramuan dan bahan tambahan.

    “Pada tahun ini sahaja, kita berhasrat untuk mengagihkan RM25 juta kepada syarikat yang layak dengan memperuntukkan RM2 juta kepada syarikat yang memasarkan produk mereka di pasaran tempatan dan RM4 juta bagi syarikat berasaskan eksport.

    “Menjelang 2020, kita menjangkakan dana ini dapat dimanfaatkan 25 syarikat tempatan dalam kedua-dua pasaran,” katanya pada majlis pelancaran dana berkenaan di sini, semalam.

    Pada majlis sama, MTDC turut menyampaikan dana keseluruhan berjumlah RM17 juta kepada lima syarikat penerima Dana Halal iaitu Organic Gain Sdn Bhd, Vanity Cosmeceutical Sdn Bhd, DMS Resources Sdn Bhd, Hernan Corporation Sdn Bhd dan PS Food & Beverage Sdn Bhd.

    Abdul Rahman berkata, menerusi dana itu, pihaknya yakin dapat membantu syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk berkembang dan meningkatkan produktiviti mereka melalui perkhidmatan disediakan.

    “Selain itu, dana ini turut dapat mengurangkan kekangan kepada usahawan tempatan untuk membawa produk atau perkhidmatan masing-masing ke pasaran lebih luas.

    “Berdasarkan perkembangan dan permintaan produk halal di pasaran antarabangsa, syarikat yang menerima dana ini mempunyai potensi tinggi untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan penghasilan produk atau perkhidmatan untuk pasaran berkenaan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, pihaknya menyasarkan lima syarikat yang mendapat kelulusan dana berkenaan akan menyumbang nilai eksport sebanyak RM50 juta pada tahun ini. Beliau berkata, kerajaan bersedia menambah peruntukan dana itu jika terbukti ia mendapat sambutan yang menggalakkan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Suntik RM100 Juta Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top