NOMBOR 22 ternyata memberi tuah kepada pelumba Team Dimension Data, Ryan Gibbons selepas dia dinobatkan sebagai pemenang Jersi Kuning selaku pelumba keseluruhan terbaik selepas perlumbaan peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 tamat semalam.
No. 22 itu adalah purata umur pelumba berpangkalan di Afrika Selatan tersebut yang secara kebetulan, perlumbaan terbesar di Asia itu juga sudah pun memasuki edisi yang ke-22.
Pada perlumbaan yang bermula di Setiawangsa, Selangor hingga Putrajaya semalam, Gibbons berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dengan catatan masa keseluruhan dalam lapan peringkat perlumbaan sebanyak 29’04:57 saat (s).
Malah, perlumbaan sejauh 121 kilometer (km) itu, selain mempertahankan Jersi Kuning, Gibbons yang pertama kali beraksi pada perlumbaan berprestij LTdL turut mencatatkan satu lagi kejayaan apabila merampas kembali Jersi Teal (Raja Pecut) daripada penyandang sebelum ini, Jakub Mareczko yang mewakili pasukan Team Wilier Triestina (Itali).
Penguasaan pada tiga zon pecutan yang bermula di Sungai Lalang, Semenyih serta Putrajaya menyaksikan Gibbons meraih 75 mata secara keseluruhan dengan meninggalkan pencabar terdekat daripada UnitedHealthCare Pro Cycling, Travis McCabe dengan kelebihan 13 mata.
Sementara itu, juara peringkat perlumbaan semalam diungguli oleh McCabe. Sebagai rekod, Gibbons merupakan pelumba Afrika Selatan kedua yang memenangi gelaran Jersi Teal selepas kali terakhir dimenangi oleh Robert Hunter pada 2002. Gibbons mendedahkan, kemenangannya itu sebenarnya diinspirasikan daripada kejayaan Hunter 15 tahun lalu.
“Saya sentiasa bercakap dengan Hunter kerana dia adalah idola saya. Dia juga individu yang sentiasa menaruh kepercayaan terhadap saya bagi mengulangi pencapaian yang diraihnya itu,” tambahnya.
Biarpun berjaya menggondol dua gelaran jersi utama, ia masih belum cukup membantu Team Dimension Data meraih kemenangan keseluruhan ataupun mengulangi pencapaian pada musim 2016.
Sebaliknya, juara berpasukan dimenangi oleh pasukan IsoWhey Sports Swisswellness (Australia) dengan catatan masa sebanyak 87’16:52s, manakala Team Dimension Data berada di kedudukan kedua dengan catatan masa sama.
0 comments:
Post a Comment