Polis menahan seorang suspek, 32, berhubung kes mendatangkan kecederaan ke atas seorang wanita ketika menyamun di Pekan Semporna, kira-kira jam 1.20 petang Rabu. Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata suspek ditahan semasa berada di sebuah kenderaan Perodua Kancil (yang turut disita, disyaki digunakan ketika kejadian).
“Mangsa wanita, 27, melaporkan bahawa kejadian samun berlaku kira-kira jam 2.05 pagi pada 1 Mac di kediamannya di Taman Miramas,” katanya di sini, kelmarin.
Beliau berkata pada hari kejadian, pengadu yang sedang tidur membuka pintu biliknya selepas diketuk oleh seseorang dan mendapati rakan serumahnya sudah terbaring. Menurutnya pengadu melihat rakannya (mangsa) cedera di bahagian perut disyaki akibat ditikam oleh pencuri yang menceroboh masuk ke dalam rumah mereka.
“Siasatan awal menunjukkan semasa kejadian, mangsa ketakutan selepas terdengar bunyi tombol bilik dipusing-pusing dan seperti ada seseorang yang berada di luar biliknya. Mangsa kemudiannya mengambil gunting dan sebaik pintu biliknya terbuka, mangsa dan pencuri (menutup muka dengan baju) bergelut sehingga ke tangga,” katanya.
Perut mangsa dikatakan terkena sedikit pisau sayur yang digunakan pencuri, dan mangsa juga percaya sempat menikam pencuri itu tetapi tidak dapat memastikannya dengan tepat. Dalam kejadian itu, suspek menolak mangsa sehingga jatuh dari tangga tingkat atas ke tingkat bawah sebelum meninggalkan rumah terbabit melalui pintu tempat penyidai kain.
“Hasil siasatan juga, kita tidak menemui sebarang kesan pecah di rumah mangsa, dan pengadu memberitahu bahawa rumah mereka dikunci dari dalam sebelum kejadian. Saksi kejadian ada mengatakan ternampak kelibat seorang lelaki yang lari ke arah sebuah kereta Perodua Kancil, sekali gus membawa kepada penahanan suspek,” katanya.
Peter berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes mendatangkan kecederaan ketika samun.
0 comments:
Post a Comment